KELAPA muda merupakan salah satu buah yang banyak diburu pada bulan Ramadan. Rasanya yang segar dapat melepaskan dahaga kala berbuka puasa.

Namun bergantung kepada kualiti buah kelapa yang dipilih. Kalau tersalah pilih memang ke lautlah hasilnya.

Kelapa muda yang elok tekstur isinya lembut dan tidak keras serta mempunyai kandungan air yang agak banyak.

Di sini SinarPlus ingin kongsikan 5 perkara yang perlu diperhatikan apabila membeli atau memilih kelapa muda yang berkualiti.

1. Perhatikan warna kulit kelapa

Ramai yang menganggap kelapa muda harus berwarna hijau keseluruhannya. Padahal warna buah kelapa sebenarnya dipengaruhi oleh tempat tumbuhnya.

Kelapa yang tumbuh di kawasan pantai biasanya berwarna agak kekuningan, manakala di kawasan berbukit bukau berwarna hijau muda. Dikatakan kelapa yang tumbuh di kawasan berbukit lebih banyak dan isinya lebih manis.

2. Serat kelapa

Selain mengelakkan daripada memilih kelapa berwarna coklat tua, pastikan kelapa yang dipilih ada serat berwarna perang di bahagian luarnya. Serat berwarna perang menunjukkan ia masih dalam keadaan segar dan muda.

3. Goncangkan kelapa

Kalau nak tahu kandungan air dalam kelapa, senang sahaja goncang-goncangkan buahnya. Kelapa muda sudah pasti kandungan airnya banyak, jadi sikit atau banyaknya boleh diagak melalui bunyi airnya bila digoncang.

Iklan

4. Tangkai kelapa

Jika anda perhatikan di bahagian pangkal atas kelapa terdapat lingkaran atau kelopak yang bersambung dengan bahagian tangkainya. Lingkaran pada hujung tangkai itu menandakan usia kelapa.

Jika kelapa muda biasanya memiliki garis pusat lingkaran yang tidak terlalu lebar. Tetapi kelapa tua pula kelopak lingkarannya sangat lebar.

5. Tepuk kelapa

Iklan

Tesktur dan rasa isi kelapa yang manis memang sedap. Nak tahu kelapa yang memiliki isi yang tipis lembut dan muda, cubalah menepuk-nepuk buah kelapa tersebut. Kalau terasa bergetar tandanya isinya elok dan lembut dan mudah disudukan.

Semoga bermanfaat.

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: UNSPLASH, UNLOCKFOOD