ESOK, masyarakat beragama Hindu bakal menyambut perayaan Deepavali. Diibaratkan sebagai Pesta Cahaya, nyalaan pelita yang sinonim sebagai lambang kemenangan ke atas kuasa kejahatan ini secara simboliknya memberi maksud dan pengertian yang sangat bermakna terutamanya terhadap penerapan nilai-nilai positif dalam kehidupan.

Sememangnya, sambutan perayaan dalam normal baharu adalah suatu kelainan namun dengan kepelbagaian penawaran kemudahan serta perkhidmatan jalur lebar dalam era teknologi digital masa kini, setiap individu masih boleh berhubung secara dua hala terutamanya dengan orang tersayang iaitu ibu bapa di kampung dan sanak saudara sepanjang musim perayaan berkenaan.

Sementara itu, Petronas menyemarakkan sambutan Deepavali tahun ini dengan ‘Vattam’, sebuah filem web muzikal animasi yang dihasilkan untuk membawa sedikit kegembiraan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan ketika melalui tempoh mencabar bersama.

Vattam warnai Deepavali, bawa sinar kegembiraan lalui tempoh mencabar bersama

Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan, ‘Vattam’ diterjemahkan sebagai ‘lingkaran’ yang mewakili keutuhan dan cara anggota keluarga saling melengkapi dan memperlihatkan tradisi keluarga yang erat dalam membuat murukku.

Kata kenyataan itu, tradisi membuat makanan ringan tradisional yang popular dalam kalangan semua rakyat Malaysia itu memainkan peranan istimewa dalam menyatukan keluarga beberapa minggu sebelum Deepavali.

“Perayaan pesta cahaya dimulakan apabila keluarga berkumpul untuk membuat murukku, di mana generasi yang berbeza dalam ikatan keluarga mencipta momen yang tidak dapat dilupakan,” menurut kenyataan itu.

Filem web animasi itu mencerminkan kebersamaan sebuah keluarga melalui tradisi membuat muruku bagi menyambut Deepavali.

Empat beradik yang memiliki keperibadian berbeza ditonjolkan melalui kepelbagaian bahan dan perkakasan yang digunakan untuk membuat muruku.

Vattam warnai Deepavali, bawa sinar kegembiraan lalui tempoh mencabar bersama

Iklan

Setiap satu berperanan penting dan tidak sempurna tanpa satu sama lain, begitu juga sebuah keluarga, ia seharusnya saling harmoni serta seiringan bersinar seperti cahaya.

Menurut kenyataan itu lagi, filem Vattam juga dihidupkan melalui nyanyian dan tarian yang mampu menghiburkan penonton.

Iklan

“Setiap langkah dan bahan dalam proses pembuatan murukku melambangkan ahli keluarga di mana masing-masing memainkan peranan penting dan tidak dapat dilakukan tanpa satu atau yang lain.

“Ketegangan di dapur meningkat ketika adik-beradik mula bertengkar mengenai siapa yang memainkan peranan paling penting, melupakan bahan terpenting dari semua iaitu keluarga.

“Diceritakan dalam sebuah musikal yang ringan dan menghiburkan, ‘Vattam’ menyampaikan pesanan penting bahawa anggota keluarga harus saling menyokong dan melengkapi di antara satu sama lain,” kata kenyataan itu.

Tema perayaan Petronas untuk tahun 2020 iaitu ‘Keluarga Unik Kami’ bergema di seluruh filem web dan memperlihatkan semangat rakyat Malaysia yang tidak dapat dikalahkan untuk mengatasi rintangan secara kolektif walaupun terdapat perbezaan individu.

‘Vattam’ disiarkan dan tersedia untuk ditonton di saluran YouTube rasmi dan laman Facebook Petronas.