KEPUTUSAN sama ada kerajaan akan melanjutkan pelaksanaan moratorium atau tidak akan diketahui Jumaat ini.

Demikian kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri ketika menjawab soalan yang diajukan.

Isu lanjutan moratorium menjadi tumpuan ketika sesi perbahasan Rang undang-undang dan urusan Kerajaan yang lain di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengutarakan soalan kepada Timbalan Menteri Kewangan adakah moratorium dapat dilanjutkan seperti yang diharapkan oleh rakyat sebelum ini.

Menjawab pertanyaan tersebut, Abd Rahum berkata, “pada Jumaat ini kita ada pembentangan Belanjawan 2021, jadi untuk mengetahui sama ada inisiatif itu dilaksanakan kena tunggu Jumaat ini”

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Kesatuan Pekerja Bank Nasional (NUBE) menyeru ahli Parlimen pemerintah dan pembangkang mendesak menteri kewangan mengembalikan moratorium menyeluruh ke atas pinjaman bank selama 6 bulan lagi melalui Belanjawan 2021.

Setiausaha Agung J Solomon berkata, pelaksanaan semula moratorium pinjaman bank untuk 6 bulan lagi contoh cadangan yang mampu meraih sokongan bipartisan daripada 222 ahli Parlimen, jika ia terkandung dalam Belanjawan 2021.

Iklan

Terdahulu, selepas berakhirnya moratorium 30 september lalu, peminjam atau individu yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mahu kemudahan moratorium mereka dilanjutkan, perlu segera berurusan dengan bank masing-masing dan diminta untuk mengelak daripada melakukannya di saat-saat akhir.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah berkata, ini penting kerana langkah terbabit bukan lagi secara automotik.

Iklan

“Permohonan lanjutan moratorium itu harus dilakukan segera oleh peminjam kerana ia bukan lagi automatik seperti dahulu.

“Kita juga tidak mahu mereka (peminjam) buat permohonan di saat-saat akhir. Jika datang pada hujung September kita risau dari segi kemampuan bank-bank untuk mengurus permohonan mereka,” katanya.

Jadi, adakah moratorium akan dilanjutkan lagi selama enam bulan atau bagaimana cara untuk memohon? Sama-sama kita nantikan Jumaat ini!