PADA masa kini, di mana-mana sahaja, situasi kanak-kanak bersama penggunaan gajet boleh dianggap sebagai satu pemandangan atau keadaan biasa.

Seiring dengan peredaran zaman, gajet lebih menjadi pilihan kanak-kanak berbanding permainan atau sesuatu aktiviti yang melibatkan fizikal.

Malah, sungguh mengagumkan apabila seorang kanak-kanak seawal usia dua tahun dapat mengendalikan dan tahu menggunakan gajet, sama seperti cara mereka tahu menggunakan botol susu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam perkongsiannya, mengatakan dunia anak-anak sekarang dalam era teknologi, ibu bapalah yang perlu pandai menghadkan masa diri sendiri untuk gajet.

Jika ibu bapa gagal menguruskan diri sendiri apatah lagi golongan kanak-kanak dan akhirnya benda yang hanya keperluan akan menjadi ketagihan.

KKM memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan gajet anak mestilah dihadkan kepada maksima dua jam sehari bagi anak yang bersekolah dan hanya sejam sehari untuk anak yang belum bersekolah.

Tidak salah memberi anak menggunakan gajet namun penggunaannya haruslah diselia dan dikawal.

Tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan ketagihan dan merencatkan kemahiran sosial anak-anak.

Ini lima tip ringkas boleh dilakukan ibu bapa bagi mengawal penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak;

1. Tetapkan masa

Gajet mempunyai banyak kebaikan. Antaranya boleh merangsang kreativiti anak-anak melalui video dan gambar yang bergerak.

Terdapat juga banyak permainan video yang berbentuk pendidikan.

Di samping kebaikan yang ada, had masa hendaklah ditetapkan agar mereka tidak menjadi ketagih.

Hadkan masa kurang daripada 15 minit pada satu-satu masa sebaiknya, elakkan penggunaan melebihi 30 minit sehari.

2. Pantau penggunaan

Kanak-kanak sangat mudah terdedah kepada pelbagai jenis kandungan tidak sihat di dalam gajet, khususnya pornografi yang semakin menular dan mudah didapati di dalam internet.

Lakukan interaksi bersamanya semasa melihat skrin telefon dan tanyakan mereka soalan seperti ‘apa nama binatang ni?’, ‘warna apa ni?’ atau ‘macam mana bunyi kucing?’

Bagi kanak-kanak yang lebih dewasa, tanyakan soalan-soalan yang lebih mencabar seperti ‘macam mana burung boleh terbang?’ atau ‘kenapa kita perlu makan sayur?’

Dengan interaksi yang berlaku, hubungan antara ibu bapa dan anak akan lebih erat.

Dalam masa yang sama, minda anak-anak juga akan berkembang.

Boleh juga letakkan telefon kepada mod parenting control untuk mengelakkan mereka membuka laman-laman yang tidak sepatutnya.

3. Jangan manjakan anak anda dengan gajet

Sebahagian ibu bapa menjadikan telefon sebagai ‘ubat penenang’ apabila anak-anak menangis atau mengamuk.

Membuka video di YouTube adalah langkah yang sangat mudah untuk memujuk kanak-kanak yang menangis.

Namun, video tersebut hanyalah solusi sementara dan tidak akan menyelesaikan punca sebenar.

Jika anak-anak terlalu dimanjakan dengan gajet, mereka akan lebih mudah mengamuk dan sentiasa meminta-minta.

Ditegur terlalu leka bermain telefon, bapa maut ditikam anak

Iklan

4. Elakkan gajet ketika ada ramai orang

Apabila saudara mara pulang ke kampung, gunakan saat itu untuk membiarkan anak-anak bersosial bersama sepupu dan saudaranya.

Jika mereka meminta gajet, elakkan daripada menunaikan permintaannya. Anak-anak perlu belajar bersosial dan berinteraksi dengan persekitarannya.

Ia adalah skil yang penting sebelum melangkah ke alam sekolah dan remaja.

5. Tiada gajet dalam dua tahun pertama

Kebanyakan pakar meletakkan umur selepas dua tahun sebelum menggunakan apa-apa gajet.

Umur dua tahun pertama ini adalah waktu yang harus digunakan oleh anak-anak untuk berinteraksi dengan objek-objek fizikal di sekeliling mereka.

Ini adalah penting untuk merangsang deria sentuhan mereka yang gagal didapati melalui gajet.

Iklan

6. Tunjukkan contoh teladan yang baik

Jika korang mengharapkan anak-anak agar tidak terlalu kerap menghadap skrin telefon, diri sendiri harus memulakannya terlebih dahulu.

Kanak-kanak sangat mudah terikut dengan tingkah laku orang tuanya. Banyakkan masa bermain dan berborak dengan anak-anak.

Elakkan memegang gajet semasa waktu keluarga seperti waktu makan atau berkumpul di ruang tamu.

Untuk kesejahteraan bersama, lebih baik mengawal anak-anak daripada terjebak dengan ketagihan gajet atau internet.

Jika korang sayang dan mengambil berat perihal anak, bertindaklah!

Sumber: KKM Portal MyHealth & hellodoktor