VIRAL di laman sosial baru-baru ini mengenai seorang pemuda menikmati telur buaya.

Perbuatannya itu mengundang perbualan ramai. Masakan tidak, telur yang disantap itu bukan calang-calang haiwan!

Namun, difahamkan pemuda berkenaan memakannya untuk mengelak telur itu menetas.

Dia yang sememangnya menjaga beberapa haiwan eksotik tak mampu menampung lagi andai lahirnya anak buaya baharu lagi.

Rakaman video yang tular di TikTok itu turut memaparkan isteri pemuda tersebut menggoreng telur buaya berkenaan.

Dalam perkongsiannya, lelaki itu turut menyatakan, telur buaya mempunyai rasa tersendiri iaitu lebih kenyal dan lemak berbeza dengan telur ayam atau itik terutama telur kuningnya. Cuma, bahagian telur putih mempunyai rasa sedikit berbeza.

“Telor mata buaya ni rasa kenyal-kenyal dan creamy sikit. Tang kuning sedap Tang putih tu rasa lain macam sikit,” tulisnya di kapsyen.

Baca juga Hukum hadiri majlis perkahwinan mengandungi maksiat, 17 info perlu tahu

Lantaran itu, apakah sebenarnya hukum makan telur haiwan terutamanya telur buaya yang merupakan hidupan dua alam ini?

Semua sedia maklum, daging buaya dikategorikan sebagai najis kerana ia bukan daripada jenis haiwan yang halal dimakan, sama ada disembelih atau tidak.

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah:

“Buaya adalah haram dimakan mengikut pendapat yang sahih.” – Rujuk Raudhah al-Talibin (3/275).

Ini kerana buaya meskipun dilihat hidup dua alam tetapi ia lebih bersifat haiwan darat yang menerkam mangsanya dengan taring dan bukan sepenuhnya hidupan akuatik. Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (9/379) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah; Mughni al-Muhtaj (6/146) oleh Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah.

Ini bersesuaian dengan hadith Abu Tha`labah RA yang bermaksud;“Sesungguhnya Rasulullah SAW menegah daripada memakan setiap haiwan yang memiliki taring haiwan pemburu.” – Riwayat al-Bukhari (5530) dan Muslim (1932)

Melalui portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan para ulama’ mazhab al-Syafie mengenai hukum memakan telur haiwan, secara asasnya membolehkan untuk memakan telur haiwan. Lihat al-Mu’tamad (2/588).

Namun, sekiranya memberikan mudarat maka haram dimakan telur tersebut. Ini selaras dengan hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.” – Riwayat Ibn Majah (2341)

Baca juga [VIDEO] Lelaki suap buaya liar makan guna tangan, macam bagi kucing makan jer lagaknya

Iklan

Malah, perkara ini turut dibahaskan oleh beberapa fuqaha’ Mazhab al-Syafie antaranya yang bermaksud, “Kesemua telur suci meskipun daripada [haiwan yang] tidak di makan [dagingnya], walaupun telah berubah [menjadi] darah di mana jika diperam, akan menetas. Namun diharamkan memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular. – Lihat kitab Qalyubi wa Umairah (1/82)

Imam al-Suyuthi menyatakan hukum memakan telur haiwan-haiwan dan telur ular adalah yang bermaksud,” Tiada telur yang diharamkan bagi kita memakannya. Sesetengah [daripada] mereka (ulama Mazhab al-Syafie) mengecualikan telur ular dan serangga. Tiada syak padanya (pengecualian ini). – Lihat al-Asybah wa al-Nazoir (1/695).

Jadi berdasarkan hujah tersebut, jelaslah telur-telur haiwan lain dihukumkan sebagai halal dengan syarat tidak memudaratkan. Manakala, telur ular dan serangga haram dimakan.

Dalam pada itu, menerusi Maktabah Albakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, walaupun buaya dihukumkan sebagai haiwan yang haram untuk dimakan dagingnya, namun telurnya tetap dihukumkan sebagai halal untuk disantap mengikut pendapat yang sahih.

Pandangan itu sebagaimana dilontarkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa telur daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci secara ijmak.

Iklan

Bagaimanapun, andai ia datang daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya pula, terdapat dua pendapat, tetapi pandangan terkuat adalah ia dikira suci, ungkapnya.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Tiktok khairuljohari27, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!