Wanita ingin puasa ganti atau sunat kena minta izin suami, ini sebabnya

KEWAJIPAN seorang isteri adalah untuk memenuhi hak suami. Tidak kiralah dalam apa jua urusan isteri.

Jadi, sekiranya isteri ingin mengganti puasa dalam tempoh yang panjang dan suami berada di rumah, mereka perlu meminta izin suami terlebih dahulu.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Hammam bin Munabbih R.A, sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak dibenarkan berpuasa bagi seorang wanita (isteri) dan suaminya ada disisinya melainkan dengan keizinannya.” – Riwayat Muslim (1026)

Imam al-Nawawi juga ada menyebut di dalam hadis yang bermaksud; “Larangan ini bermaksud ke atas puasa sunat (yang memiliki waktu tertentu seperti puasa hari arafah) dan puasa yang disunatkan yang tidak memiliki waktu tertentu, dan larangan ini merupakan larangan yang menunjukkan pengharamannya sebagaimana yang dijelaskan oleh ashab al-Syafi’eyyah.”

Baca juga Kalau berpuasa sebab tak mahu ganti puasa, betulkan niat itu. Ini bahana yang mungkin menimpa

Selain itu, seperti yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitabnya, “Dan diharamkan ke atas seorang isteri untuk berpuasa sunat atau puasa qadha’ sekiranya tempoh menggantikannya masih berpanjangan dan suaminya datang kepadanya melainkan dengan keizinan suaminya atau dia mengetahui suami meredhainya berpuasa.”

Menurut Imam al-Syirwani pula, sekiranya seorang isteri berpuasa tanpa meminta keizinan suami, puasanya tetap sah tetapi perbuatan itu haram dan berdosa.

Walau bagaimanapun, jika suami tiada di tempat tinggal maka diharuskan untuk berpuasa.

Jadi, seorang isteri wajib meminta izin suami apabila hendak melakukan puasa ganti atau sunat sekiranya suami berada di rumah.

Iklan

Baca juga Tak sedar datang haid, nampak darah lepas berbuka, perlukah puasa diganti? Ini penjelasan agamawan

Bagi menunjukkan rasa hormat, isteri juga disarankan untuk meminta izin suami sekiranya suami tiada di rumah.

Semoga bermanfaat!

Iklan

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi!