WANITA merupakan golongan yang mudah mendapat penyakit autoimun. Ia salah satu penyakit yang kurang diketahui umum dan masyarakat. Disebabkan itu ia kurang mendapat perhatian ramai.

Namun begitu, kebiasaannya wanita lebih mudah mendapat penyakit autoimun jika dibandingkan dengan lelaki.

Secara umumnya penyakit autoimun ini adalah di mana badan manusia itu menghasilkan antibodi sendiri yang menyerang sel-sel badan atau organ manusia itu sendiri.

Sepatutnya sistem keimunan dan antibodi kita ini adalah untuk menyerang penyakit seperti contohnya bakteria, fungus dan virus dari luar.

Tetapi dalam kes penyakit autoimun ini, badan kita menghasilkan antibodi yang sama dan menyerang organ dalam diri sendiri.

Ini kerana sistem imun badan tidak dapat membezakan sel atau tisu badan sendiri dan menganggapnya sebagai sel atau tisu asing.

Ada banyak jenis penyakit autoimun yang dikenalpasti setakat ini. Jumlah penyakit adalah lebih 80 jenis di dalam spektrum penyakit autoimun ini. Biasanya dalam sesuatu penyakit autoimun itu dari segi insidennya 80 hingga 90 peratus dihidapi oleh wanita.

KENAPA WANITA?

Kebiasaanya penyakit autoimun ini akan menyerang umur wanita yang sedang dalam jangka waktu subur.

Contohnya di antara usia 15 hingga 45 tahun. Namun, ada juga kes yang melibatkan wanita berusia 45 tahun dan ke atas, tetapi ia jarang berlaku.

Ia masih dalam kajian yang dilakukan oleh para saintis. Salah satu teori yang saintis terangkan adalah wanita ini sistem keimunannya lebih kuat sedikit daripada lelaki.

Oleh itu dari segi jangkitan penyakit berjangkit, lelaki lebih senang mendapat kuman berbanding wanita.

Mungkin juga disebabkan keimunan wanita itu lebih kuat daripada lelaki itu telah menyebabkan risiko mendapat penyakit autoimun lebih tinggi.

Tetapi kebanyakan saintis mengatakan bahawa penyebab autoimun ini adalah kombinasi dari faktor genetik dan persekitaran.

Selain daripada itu, penyakit autoimun itu juga berkait rapat dengan genetik.

Sebagai contohnya jika ada ahli keluarga seperti ibu dan nenek menghidap penyakit autoimun, seorang wanita itu boleh mendapat penyakit yang sama.

Bagi mengesan secara genetik, tidak ada ujian khusus yang boleh dilakukan. Secara asanya, bila doktor bertemu pesakit, dia akan bertanya sejarah penyakit yang menyerang keluarganya.

Genetik itu bukannya semestinya mendapat penyakit yang sama. Ia boleh menghidap penyakit dalam spektrum penyakit autoimun itu.

Dalam penyakit autoimun ini, contohnya jika ibu menghidap penyakit tiroid, tidak bermakna anaknya akan mendapat penyakit tiroid.

Ada kemungkinan jika ibu mendapat penyakit SLE, anaknya mungkin akan mendapat penyakit yang lain berkaitan dengan autoimun contohnya penyakit tiroid, psoriasis atau rheumatoid arthritis.

Baca juga Ajak anak 5 tahun ke atas main plastisin. Air liur meleleh, mulut bergerak berlebihan tanda bermasalah

Penyakit tiroid banyak serang orang muda, ini gejala dan rawatannya

JENIS-JENIS PENYAKIT AUTOIMUN YANG MENYERANG WANITA

Apabila penyakit autoimun berlaku, antibodi ini akan menyerang organ tubuh badan yang tertentu.. Contoh-contoh adalah seperti berikut;

1. Sendi-sendi

Sendi-sendi akan sakit dan membengkak. Contoh penyakit sendi ini adalah rheumatoid arthritis.

2. Systemic Lupus Erythematosus atau SLE

SLE ia boleh memberi kesan pada lebih dari satu organ dalam seluruh badan dan di antara jenis yang paling kerap di diagnosa.

Ia akan menyerang sendi tetapi tidak seteruk rheumatoid arthritis. Ia juga boleh menyerang kulit sehinggakan kulit naik ruam-ruam, ruam-ruam pada muka, rambut gugur.

Paling teruk apabila SLE ini menyerang buah pinggang. Apabila buah pinggang telah diserang dan kita tidak dapat mengesannya terlebih awal, ia boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang jika tidak dirawat.

SLE juga boleh menyebabkan serangan antibodi ke bahagian otak sekaligus menyebabkan radang otak.

3. Penyakit tiroid

Penyakit tiroid lebih banyak menyerang wanita. Puncanya adalah antibodi menyerang organ tiroid. Dua jenis penyakit tiroid ini adalah Graves disease dan Hashimoto disease.

Graves disease berlaku apabila hormon tiroid berlebihan manakala Hashimoto disease berlaku apabila hormon tiroid terlalu rendah. Punca-punca berlaku adalah sama tetapi rawatan yang akan dilakukan adalah berbeza.

4. Penyakit Psoriasis

Penyakit psoriasis juga adalah penyakit autoimun. Ini berlaku apabila antibodi badan menyerang kulit sehinggakan kulit menggelupas.

Cara untuk mengesahkan penyakit psoriasis ini adalah dengan mengambil sampel dan hantar ke makmal untuk diuji. Cara rawatan adalah untuk menurunkan sistem imum dengan rawatan tertentu oleh pakar kulit.

Iklan

5. Immune thrombocytopenic purpura (ITP)

ITP ini adalah masalah darah. Apabla berlaku, antibodi menyerang platelet dan menyebabkan bacaan bilangan platelet menjadi rendah.

Ia membuatkan seseorangan itu mudah lebam. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan hidung dan pendarahan gusi.

Bahaya ITP ini pada ibu mengandung adalah jika bacaan platelet itu rendah, ia boleh menyebabkan pendarahan. Penyakit ITP ini biasanya dirawat oleh pakar hematologi (darah).

Selain dari penyakit yang disebut di atas, banyak lagi penyakit autoimun lain yang wujud. Contohnya Celiac disease, Addison’s disease, scleroderma, Myasthenia gravis dan Type 1 Diabetes mellitus.

BAGAIMANA PENYAKIT AUTOIMUN DIKESAN?

Permulaanya, simptom-simptom tidak spesifik dan tidak jelas. Antaranya adalah seperti berikut;

1. Biasanya simptom-simpton itu akan bermula dengan rasa letih, lemah dan badan atau otot-otot rasa sakit.

2. Selepas itu kebiasaanya seseorang itu akan mula demam yang tidak tinggi (suhu badan 37.5 dan 37.8 Celsius). Tetapi demam ini agak lama dan berterusan lebih kurang seminggu hingga dua minggu.

3. Sendi-sendi juga akan rasa sakit dan bengkak. Sukar untuk bergerak sebaik bangun tidur pada waktu pagi.

4. Keguguran rambut yang berlebihan

Baca juga Urut badan bukan hanya orang dewasa, anak kecil pun sama, ibu wajib tahu 5 manfaat ini

Iklan

doktor

LAKUKAN PEMERIKSAAN

Mereka yang menghidap simptom-simptom ini agar tidak menganggap simpton-simpton ini normal. Segeralah bertemu doctor bagi memeriksa apa sebenarnya yang berlaku pada tubuh anda.

Sebaik bertemu doktor perubatan atau doktor pakar, pemeriksaan akan dilakukan. Antaranya;

1. Doktor akan melihat simptom-simptom yang pesakit alami

2. Doktor akan membuat pemeriksaan fizikal yang lengkap

3. Doktor membuat ujian darah yang asas

Jika kemungkinan pesakit menghidap penyakit autoimun, doktor perubatan akan merujuk kepada doktor pakar yang berkaitan.

Rawatan penyakit autoimun akan bergantung kepada gejala dan jenis penyakit tertentu.

Sumber : Portal Rasmi Columbia Asia Malaysia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.