CACAR monyet atau mpox sudah mula dikesan di Malaysia. Baru-baru ini, dua kes telah dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di negara ini.

Berikut 20 fakta berkenaan cacar monyet anda perlu tahu:

1-Cacar monyet (mpox) pertama kali ditemui pada tahun 1958 apabila dua wabak penyakit seperti cacar berlaku di koloni monyet yang disimpan untuk penyelidikan. Oleh itu Ia dinamakan ‘cacar monyet.’

2- Kes pertama manusia dijangkiti cacar monyet direkodkan pada tahun 1970 di Republik Demokratik Congo.

3-Sejak dari itu, cacar monyet dilaporkan menjangkiti manusia di negara-negara Afrika tengah dan barat yang lain seperti Cameroon, Republik Afrika Tengah, Côte d’Ivoire, Republik Demokratik Congo, Gabon, Liberia, Nigeria, Republik Congo dan Sierra Leone. Bagaimanapun, majoriti jangkitan adalah di Republik Demokratik Congo.

4-Menurut Pertubukan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu pertama kali dikesan di luar Afrika iaitu di Amerika Syarikat pada tahun 2003 apabila anjing peliharaan diimport dari Ghana telah dijangkiti virus berkenaan.

5-Cacar monyet boleh tersebar apabila individu bersentuhan dengan haiwan, manusia atau bahan yang terderah kepada virus itu.

Gambar hiasan

PERKEMBANGAN KES CACAR MONYET DI MALAYSIA

1-Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pesakit kes pertama melibatkan seorang warga asing yang tinggal dan bekerja di negara ini sejak April 2022.

2-Manakala kes kedua pula membabitkan seorang lelaki tempatan yang merupakan kontak rapat kepada kes pertama.

3-Pesakit kes pertama yang merupakan seorang lelaki mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes cacar monyet pada 6 Julai lalu sebelum kembali semula ke Malaysia empat hari kemudian.

4-Beliau mula bergejala pada 19 Julai dan lepuh mula muncul pada 23 Julai sebelum dibebaskan daripada isolasi pada 10 Ogos.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan

5-Lelaki berkenaan disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes cacar monyet.

6-Manakala pesakit kes kedua mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana merupakan kontak dan disahkan positif pada 29 Julai.

7-Dalam masa yang sama, Dr Muhammad Radzi meminta pengamal perubatan untuk peka terhadap individu dengan gejala lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

8-Beliau mengingatkan agar mendapatkan sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan cacar daripada pesakit.

9-Bagi kes yang disyaki, swab lepuh, swab oral dan sampel darah atau serum boleh dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.

Gambar hiasan

SIMPTOM CACAR MONYET

KKM mengingatkan orang ramai berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga. Berikut perkara perlu anda tahu bagi mengelakkan jangkitan.

1-Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox. Jangkitan beriaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

Iklan

2-Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

3-Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya. Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

4-Semua pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan mpox dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)

5-Gejala-gejala mpox adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala dan ruam makulapapular yang bermula pada muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain.

6-Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

Menurut Muhammad Radzi, pada masa ini, terdapat 10 buah makmal menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan mpox iaitu lapan makmal kerajaan dan dua makmal swasta.

Iklan

Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke pejabat kesihatan berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

Sumber: KKM

Kredit foto utama: Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!