Wow, pakej pelancongan bertaraf ‘kayangan’ pada harga murah

Wow, pakej pelancongan bertaraf 'kayangan' pada harga murah
June 16, 2020
Faizul Hakimi

KELONGGARAN yang diberi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah masa yang tepat untuk bercuti dengan peluang merasai pakej pelancongan bertaraf ‘kayangan’ pada harga murah. Wow!

Mana tidaknya korang kini berpeluang menikmati pelbagai tawaran diskaun yang ada kalanya luar biasa dan tak masuk akal yang ditawarkan oleh pengusaha hotel mahupun agensi-agensi pelangongan yang menawarkan pelbagai jenis pakej hebat taraf kayangan.

Bukan itu sahaja, pelancong juga berpeluang mendapat pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Disember 2021.

Memetik laporan yang diterbitkan oleh portal akhbar tempatan, seperti di Terengganu, rata-rata pelancong yang berkunjung berkata, inisiatif kerajaan dan kesediaan pemain industri memberi diskaun luar biasa itu mampu merancakkan kembali sektor pelancongan setelah negara terkesan dengan Covid-19.

Jamaliah Abd Rahman, 43, dari Selangor berkata, beliau berkunjung ke Terengganu bersama tiga rakannya bermula 12 Jun lalu dan membayar dua bilik hotel pada kadar yang hampir sama dengan sebuah bilik sebelum ini.

“Bayangkan kalau dulu kena bayar satu bilik pada harga lebih RM190 dua hari satu malam, sekarang hanya RM95 sebilik bagi tempoh yang sama. Jika keadaan sebegini berterusan, negeri-negeri lain juga akan saya kunjungi.

“Ada juga rakan saya menginap di resort terkenal di sebuah pulau di sini, yang dahulunya berharga lebih RM1,700 semalaman kini boleh dapat diskaun sehingga 40 peratus. Bukan itu sahaja… pakej itu juga termasuk makan dan minum serta aktiviti lain,” katanya.

Sementara itu, para pengusaha hotel juga boleh menarik nafas lega dengan memanfaatkan sepenuhnya Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Keprihatinan kerajaan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan sudah tentu akan menyelamatkan perniagaan mereka yang terjejas teruk.

Pelepasan cukai pendapatan individu adalah perancangan yang sangat baik dan bagi menggerakkan semula industri, semua pihak termasuk Jabatan Pelancongan serta kerajaan negeri perlu memainkan peranan.

Jadi, apa pun pilihan destinasi percutian korang SinarPlus ucapkan selamat bercuti dan perlu ingat jangan sesekali abaikan SOP! Sama-sama kita bantu pulihkan ekonomi negara dan sektor-sektor yang hampir lumpuh disebabkan oleh pendemik Covid-19.

Selamat bercuti!

Komen

About Faizul Hakimi

Biodata Penulis