SINARPLUS percaya dalam kalangan kita pasti ramai yang masih tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya bila agaknya kerajaan mahu membuka pintu sempadan untuk kita ke luar negara.

Mana tidak nya, sejak pandemik Covid-19 ‘menggila’ dan angka kes yang positif dilaporkan kian meningkat, pintu sempatan negara dan juga negara-negara luar yang turut terjejas terpaksa ditutup.

Namun, memetik laporan portal media tempatan, Thailand dilaporkan bakal membuka pintunya kepada lebih ramai pelawat asing dalam usaha merangsang sektor pelancongannya yang semakin tenat akibat penularan pandemik Covid-19.

Timbalan jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata, jemaah menteri telah meluluskan pelan untuk memperkenalkan visa khas pelancong tinggal lebih lama (STV) kepada pelawat dari semua negara.

Menurutnya, sebelum ini STV hanya diberikan kepada pelawat dari negara berisiko rendah Covid-19, namun bilangan pelancong yang memanfaatkan kemudahan itu adalah rendah.

“Jauh lebih rendah daripada jangkaan kami. Hanya 825 pelancong dari 29 negara dan enam kapal layar dari negara asing berlabuh di negara ini,” katanya.

Ratchada berkata bagaimanapun, semua pelawat asing harus mematuhi peraturan di bawah STV termasuk menjalani kuarantin wajib 14 hari sebaik tiba.

Di bawah STV yang dilancarkan pada penghujung Oktober lepas, pelancong asing boleh tinggal di negara ini hingga sembilan bulan, namun mereka perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di fasiliti kuarantin alternatif sejurus tiba, selain memiliki insurans kesihatan yang merangkumi rawatan Covid-19 berjumlah US$100,000.

Simpan harapan nak melancong, Thailand tidak akan buka pintu sempadan sehingga 2021

Thailand, negara pertama di luar China yang melaporkan kes Covid-19 pada Januari tahun ini, menggantung penerbangan komersial serta menyekat kemasukan pelancong asing dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.

Iklan

Setakat ini Thailand melaporkan keseluruhan 4,126 kes positif Covid-19  dengan 60 kematian.

Nampak gayanya ada beberapa negara yang sudah membuka sempadan bagi menerima pelancong luar.

Namun SinarPlus juga percaya rakyat Malaysia masih lagi mahu pintu sempadan ditutup sehingga kes Covid-19 benar-benar pulih.

Iklan

Apa-apa pun, teruskan mematuhi SOP kerana negara kita masih belum menang menentang wabak pandemik ini.

Sekiranya baru pulang dari kawasan merah Covid-19, jalankan tanggungjawab korang untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Jangan sesekali pentingkan diri sendiri yang akhirnya akan mengakibatkan kemudaratan pada orang lain.