PENTAS akhir program reality Mic On! yang berlangsung pada Jumaat menerusi saluran Awesome TV menyaksikan Jiwa Firdaus juara sulung program berkenaan.

Jiwa Firdaus atau nama sebenarnya Muhammad Firdaus menyanyikan dua buah lagu iaitu Potret dan Farhana berjaya menambat hati juri dan seteruskan mengenetepikan lima finalis lagi.

Persembahan Jiwa Firdaus berjaya menambat hati juri tetap Datuk M. Nasir dan Mas Idayu, serta juri jemputan, Datuk DJ Dave.

Kemenangan itu melayakkan pemuda berusia 26 tahun itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000, hadiah tajaan ALTEL dan trofi. Manakala Fad (Bocey) diumumkan sebagai pengurus terbaik Mic On! dan membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Menurut Datuk M. Nasir selaku juri tetap Mic ON!, Jiwa mempunyai vokal yang hampir sempurna serta persembahan yang konsisten setiap minggu.

Mas Idayu pula berpendapat Jiwa mampu untuk mewarnai lagu yang dibawa dengan cara yang tersendiri tanpa terikut-ikut dengan identiti penyanyi asal lagu-lagu yang disampaikan.

Sementara itu, Siti Wan Ainnur, 23 atau Ainnur dipilih sebagai naib juara. Ainnur yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur, kali pertama menyertai pertandingan nyanyian seumpama ini berjaya memikat hati para juri dengan lagu Jangan Kau Mimpi dan Cindai.

Ainnur pertama kali menyertai program realiti dan berjaya memenangi tempat kedua.

Kelincahan dan versatiliti Ainnur telah menjadikan wang tunai RM5,000 sebagai miliknya di samping trofi naib juara dan hadiah tajaan ALTEL.

Tempat ketiga menjadi milik Harun Abdul atau Aaron, telah mendendangkan Takdir dan Waktu dan Pelangi Petang.

Iklan

Kemenangan ini membolehkan Aaron untuk membawa pulang wang tunai bernilai RM2,500 beserta trofi dan hadiah tajaan ALTEL.

Finalis lain yang bertanding adalah Erman Braka, Qmir dan Azmi Khan turut tampil dengan persembahan yang mengkagumkan.

Konsert Mic On! yang dikendalikan Nana Mahazan adalah program realiti yang pertama yang disiarkan di Awesome TV.

Iklan
Kelainan yang ditonjolkan dalam program ini adalah kesemua peserta diuruskan oleh pelawak-pelawak terkenal tanah air, iaitu Ropie, Fad dan Shuk Sahar.

Konsert akhir Mic On! berlangsung pada 29 Januari 2021 pada jam 9.30 malam melalui saluran 123, Astro dan saluran 112, MyTV.

Ulangsiar program tersebut boleh ditonton melalui saluran YouTube rasmi dan laman sesawang rasmi Awesome TV, www.awesometv.my dan penonton boleh mengikuti perkembangan terkini Mic On! melalui kesemua akaun media sosial Awesome TV.

Persembahan para peserta dinilai oleh dua juri tetap, Datuk M. Nasir dan Mas Idayu, serta juri jemputan, Datuk DJ Dave.