SETELAH hampir setahun sunyi daripada sebarang persembahan seni, impak pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia, pentas Istana Budaya (IB) bakal kembali meriah dengan pelbagai persembahan menarik sepanjang tahun ini.

Sebanyak 24 persembahan dipilih sebagai pengisian kepada program IB 2021 Norma Baharu dalam usaha menyemarakkan semula aktiviti kesenian yang terkesan akibat Covid-19.

Antara persembahan tersebuat ialah Teater Bangsawan Raja Bersiong, Festival Gemelan Gema Gangsa, Konsert Tanahairku bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan, Wayang bersama Konsert Orkestra Tradisional Malaysia, Genius Seni Muzik 10th Anniversary Concert dan dramatari Bakawali.

Di samping itu, Program Lawatan Berpandu (PLB) akan diteruskan melibatkan konsert Colours Of Malaysia dan NSO Lambang Sari Series.

Selain persembahan terbitan produksi IB, beberapa program anjuran produksi luar seperti Konsert 4GS, Konsert Barisan Hadapan Datuk Jamal Abdillah dan teater Sengkela Perak Jabatan Perkhidmatan Awam akan turut dipentaskan.

Pemilihan 24 program terbabit merupakan antara usaha IB menyeimbangkan program tradisional dan kontemporari.

Biarpun berdepan pelbagai kesulitan yang membataskan aktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), IB berusaha berkongsi inspirasi untuk menaikkan kualiti dan standard industri seni dan budaya.

Malah buat masa ini, IB meneruskan kerja-kerja persediaan artistik dan teknikal untuk program-program yang dirancang sepanjang 2021.

Iklan

Pelancaran Program Istana Budaya 2021 Norma Baharu di Panggung Sari, Istana Budaya yang berlangsung pada Rabu lalu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Nancy, IB akan terus menganjurkan program pementasan yang menyokong kesejahteraan masyarakat.

Iklan

“Selain memartabatkan seni budaya persembahan, saya berharap teater Jalan Sehala yang dijangka dipentaskan pada September 2021 dapat menggalakkan masyarakat untuk terus mengamalkan kebiasaan norma baharu dengan mematuhi garis panduan seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya berharap pelaksanaan program IB 2021 ini dapat direalisasikan bagi menghangatkan semula aktiviti seni persembahan pentas tanah air,” katanya.