SENTIASA mencari kelainan dalam karya-karya yang ditampilkan, penyanyi Lan Solo kini tampil dengan sebuah single baharu yang berbeza dengan apa yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Menurut Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 37, lagu ciptaan Velvet Aduk Lawrence dan lirik bersama Marsha Milan berjudul 5 Kaki 4 Inci itu dinyanyikan dalam dialek Melayu Sabah, selain turut menyelitkan bahasa Dusun.

Mengakui lagu tersebut cukup istimewa, Lan berkata, ia didedikasikan khas buat para peminatnya di Malaysia Timur yang sentiasa memberikan sokongan dalam kerjaya seninya selama ini.

“Sejak dari dulu, sokongan peminat-peminat di Sabah dan Sarawak memang sangat padu. Malah setiap kali menjayakan persembahan di sana, sambutannya sangat luar biasa meskipun ada antaranya merupakan persembahan berbayar.

“Jadi sebagai tanda terima kasih, saya mahu memberikan penghargaan kepada mereka menerusi lagu yang mengunakan bahasa mereka.

“Lagu ini sebenarnya telah siap setahun yang lalu, namun disebabkan pandemik dan pelbagai kekangan lain, saya mengambil keputusan untuk simpan dahulu sehinggalah ia dilancarkan sempena tahun baharu ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, bekas vokalis Kristal itu berkata, penghasilan lagu itu juga sedikit sebanyak menjadi strategi pemasaran perniagaan Borneo Mart, miliknya.

“Memang saya tak nafikan, penghasilan lagu itu juga secara tidak langsung menjadi strategi mempromosikan perniagaan produk makanan dari Borneo yang saya usahakan sejak beberapa tahun lalu.

“Jadi ia berjalan serentak dalam usaha saya untuk melebarkan sayap dan mencari pengaruh dalam pasaran Malaysia Timur.

“Bagaimanapun bukan bermaksud ia hanya untuk orang sebelah sana sahaja, tetapi apa sahaja yang saya hasilkan, baik produk perniagaan mahupun lagu, sememangnya untuk dinikmati semua orang,” jelasnya.

Isteri yang memahami

Lan yang ditemui pada majlis pelancaran video muzik lagu 5 Kaki 4 Inci di Red Box, The Garden baru-baru ini turut bersyukur apabila lagu itu akhirnya menemui peminat dan menjadi pembuka tirai kerjaya nyanyiannya untuk tahun 2022.

Iklan

Mengulas tentang babak yang menampilkan aksinya berpegangan tangan dengan seorang model Wanita yang juga merupakan Ratu Cantik Sabah 2017, Kerinah Mah dalam muzik video terbabit, Lan berharap ia tidak dijadikan isu.

“Saya seorang suami dan lelaki yang setia. Semua yang disaksikan dalam muzik video itu hanya atas dasar tuntutan cerita dalam lagu. Masing-masing profesional dalam kerja.

“Ketika menjalani penggambaran muzik video yang diadakan di Kundasang Sabah itu juga, isteri ada bersama. Secara jujurnya, saya tak risaukan reaksi isteri kerana saya tahu dia memahami kerja saya dan selok-belok industri seni.

Iklan

“Cuma saya bimbang jika ada yang salah anggap dengan babak tersebut dan memberi persepsi negatif. Apa-apapun, saya harap ia tidak dijadikan isu,” katanya.

Lagu 5 Kaki 4 Inci edaran Life Records kini tersedia di semua platform penstriman digital bermula 12 Januari lalu, manakala muzik video pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Lan Solo.

(FOTO: Life Record)