HAMPIR tiga tahun memasarkan produk wangian di bawah jenama sendiri, pelakon Datuk Aaron Aziz mengakui sudah semakin selesa bergelar ahli perniagaan.

Aaron yang juga ahli Lembaga Pengarah Nori Malaysia Sdn Bhd berkata, dia sendiri tidak menyangka perkara yang dimulakan sebagai satu kepuasan kini membawa kepada satu peluang yang cukup besar untuknya menerokai dunia perniagaan.

Bukan sekadar mencari ruang mengukuhkan jenama The Oud by Aaron Aziz, beliau berkata, ia juga adalah sebahagian cara membantu lebih ramai orang  menambah pendapatan.

“Bila diberi ruang oleh Nori Malaysia untuk muncul dengan wangian sendiri, saya memilih bauan popular tanah suci. Kalau kita tahu bauan Oud ini memang mahal, jadi apabila saya perkenalkan di bawah jenama The Oud by Aaron Aziz dengan harga yang jauh lebih murah ramai yang tidak percaya. Di sini apa yang saya utamakan adalah kualiti pembuatan selain memastikan ia setanding dengan bauan antarabangsa lain.

“Jujurnya ketika saya mulakan perniagaan ini, niat saya adalah untuk membantu orang ramai memulakan perniagaan. Jadi bila dalam tempoh PKP lalu, saya dapat merealisasikan hasrat itu.

“Alhamdulilah sepanjang tiga tahun hampir 100,000 botol sudah terjual.  Selain pasaran Malaysia, antara negara lain yang turut memberi sambutan baik adalah Singapura dan Brunei,” jelasnya.

Tidak hanya bercakap kosong, selain mendapat respons yang positif daripada pengguna, The Oud by Aaron Aziz turut menerima anugerah Minyak OUD terbaik 2021 daripada Astro GoShop.

“Melalui The Oud by Aaron Aziz kami mempunyai tiga produk iaitu Sabr Oud Edp Parfum, Jameela Oud Edp Parfum dan yang terbaharu terbaru Al-Bayt Home Fragrance.

“Selepas hampir tiga tahun, penerimaan pengguna sangat memberangsangkan. Malah saya turut bersyukur maklum balas yang diberikan rata-rata memberitahu wangian The Oud by Aaron Aziz memenuhi cita rasa mewah selain harga yang cukup murah.

“Mungkin melalui strategi itu juga kami diberikan peluang untuk meraih anugerah Minyak OUD terbaik 2021 daripada Astro GoShop,” katanya yang akan memperkenalkan produk terbaharu tidak lama lagi.

Tawar hati

Sementara itu, ditanya perancangan hidupnya untuk tahun 2022, Aaron berharap dapat menunaikan ibadah haji bersama isteri tercinta, Datin Diyana Halik.

Iklan

“Selepas lima kali buat umrah, kali ini memang kami berharap sangat dapat tunaikan yang wajib. Ikutkan saya adalah rombongan terakhir yang meninggalkan tanah suci Mekah sebelum pelaksanaan sekatan perjalanan kerana Covid-19.

“Memang saya sangat rindukan bau tanah suci itu selepas hampir dua tahun tidak ke sana, semoga ada rezeki untuk saya dan isteri,” ujarnya.

Dalam pada itu, bapa kepada tiga orang cahaya mata ini mengakui kehilangan ibu tercinta dua tahun lalu mengubah rasa rindunya.

Iklan

Jika dahulu kepulangan ke Singapura menjadi antara yang dinanti ternyata kini perasaannya berbeza. Ternyata pemergian insan yang paling disayanginya itu memberi kesan yang cukup mendalam buat dirinya.

Kehilangan ibu tercinta dua tahun yang lalu memberi kesan mendalam buat Aaron.

“Jika dahulu balik ke sana mahu jumpa ibu, tetapi selepas pemergian ibu memang saya sudah tawar hati. Perasaan pulang ke Singapura itu berbeza. Tidak terlalu mengharapkan sangat untuk dapat pulang ke sana. Malah dalam keadaan saya sibuk juga menyebabkan saya tidak terlalu fikirkannya.

“Tambahan pula dengan keadaan sekarang agak sukar untuk saya pulang ke Singapura. Namun isteri saya baru saya pulang bersama anak-anak, jadi sempat juga mereka bertemu keluarga,” katanya menutup perbualan.