PENYANYI Haqiem Rusli melakar sejarah manis apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-33 (ABP) yang berlangsung malam tadi di Axiata Arena Bukit Jalil.

Bintang muda yang juga merupakan seorang komposer itu meraih jumlah undian tertinggi sebanyak 22,332,676 sekali gus mengetepikan beberapa calon lain yang turut menjadi sebutan untuk kategori utama itu.

Kemenangan itu juga menyaksikan Haqiem, 22, berjaya membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Nissan Leaf beserta trofi.

Selain kategori utama, pelantun lagu Tergantung Sepi itu turut memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan Lagu Boom Popular untuk kategori online.

“Syukur alhamdulillah untuk rezeki hari ini, terima kasih kepada keluarga, pihak penganjur, syarikat rakaman saya iaitu FMC Music dan peminat yang sentiasa mengundi untuk melihat saya memegang trofi ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, saingan terdekat Haqiem, Siti Nordiana turut mencuri tumpuan dengan dua kemenangan menerusi kategori Artis Versatil Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar.

Tidak ketinggalan Sherry AlHadad yang turut pulang dengan dua kemenangan bagi kategori Artis Komedi Popular dan Pengacara TV Popular.

Bagaimanapun kategori Pelakon Filem Wanita Popular membuat kejutan apabila menyaksikan ia menjadi milik Mawar Rashid yang berjaya mengalahkan calon-calon popular lain dalam kategori sama.

Malam kemuncak ABP33 turut memberi penghargaan kepada penyanyi Francissca Peter menerusi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di atas sumbangannya selama lebih empat dekad dalam industri seni tanah air.

Iklan

Acara penyampaian anugerah turut diserikan dengan persembahan menarik melibatkan artis-artis popular tanah air seperti Azlina Aziz, Liza Aziz, Zizi Kirana, Elly Mazlein, Faizal Tahir, Hafiz Suip, Ernie Zakri, Aina Abdul, Azlan The Typewriter, Yonnyboii, Naim Daniel, Syamel dan ramai lagi.

Dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Nabila Huda, ABP33 buat pertama kalinya berlangsung tanpa kehadiran penonton, selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa.

Siti Nordiana, Francissca Peter dan Sherry AlHadad antara yang mencuri perhatian di malam ABP33 – FOTO: ABP/TV3

Senarai penuh pemenang ABP33

Kategori Utama
Bintang Paling Popular: Haqiem Rusli
Artis Baharu Wanita Paling Popular: Isyariana
Artis Baharu Lelaki Popular: Chubb-E
Artis Kolaborasi Duo Berkumpulan Popular: Khai Bahar & Siti Nordiana
Penyampai Radio Popular: Dj Lin
Pengacara TV Popular: Sherry Alhadad
Artis Versatil Popular: Siti Nordiana
Artis Komedi Popular: Sherry Alhadad
Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia: Wany Hasrita
Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia: Haqiem Rusli
Pelakon TV Wanita Popular: Siti Saleha
Pelakon TV Lelaki Popular: Ben Amir
Pelakon Filem Wanita Popular: Mawar Rashid
Pelakon Filem Lelaki Popular: Zahiril Adzim
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Francissca Peter

Iklan

Kategori Online
Gandingan Serasi Drama Popular: Kamal Adli & Uqasha Senrose
Gandingan Serasi Filem Popular: Syafiq Kyle & Mimi Lana
Lagu Boom Popular: Haqiem Rusli
Artis Kontroversi Popular: Aiman Tino
Anugerah FC #Fantastik Popular: Siti Nordiana FC

 

(FOTO: ABP33/TV3)