ISTERI kepada Allahyarham Abam Bocey,  Siti Nurhidayah Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Hidayah meluahkan rasa sedih apabila ada pihak yang menuduhnya  tidak bersedih dengan pemergian arwah suaminya.

Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, Hidayah yang juga ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki itu berkata, dia reda dengan tuduhan sedemikian.

Malah, Hidayah sentiasa beringat pesan arwah suaminya, di mana kesedihan tidak perlu ditunjuk-tunjuk.

“Ada orang berkata saya tak sedih dengan kematian suami. Tak apa, cakaplah apa pun. ALLAH yang maha mengetahui segalanya.

“Ingat lagi pesan arwah suami, biarlah apa pun orang nak kata kita, mereka bukan bagi kita makan. Janji kita dengan cara kita, jangan berhenti berdoa, ALLAH sentiasa ada bersama kita.

“Kesedihan tak perlu ditunjuk-tunjuk. Bersedih (selain takut kerana Allah) tidak diajarkan dalam agama,” luahnya.

Menyokong kata-katanya itu, Hidayah yang kini berniaga kecil-kecilan dengan menjual cempedak goreng di pekan Sabak Bernam itu  turut berkongsi sepotong ayat yang berkaitan larangan bersedih.

“Kita banyak menemui ayat mahupun hadis yang melarang kita untuk bersedih.

“Antaranya yang bermaksud; Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita –  surah At-Taubah: 40.

Iklan

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman – surah Al-Imran: 139,” kongsi Hidayah.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas dua hari mengalami demam panas.

Iklan

Hasil perkongsian hidup Hidayah dan Allahyarham Abam, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia 14 bulan.

 

(SUMBER/FOTO: Instagram Nurhidayah)