BIARPUN tawaran untuk mengadakan persembahan dan aktiviti dalam bidang nyanyian agak terhad selepas pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan, penyanyi Afieq Shazwan tidak menjadikannya alasan untuknya berdiam diri.

Sebaliknya penyanyi yang memiliki nama lengkap Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, 23, sentiasa aktif menghasilkan karya baharu selain mendekatkan diri dengan peminatnya.

“Alhamdulillah meskipun banyak aktiviti seni terhenti disebabkan PKP, hati saya lega apabila sedikit sebanyak rezeki menyebelahi single terkini saya, Lelaki Di Telefon yang mendapat sambutan baik daripada pendengar.

“Sejak lagu tersebut rilis pada Disember tahun lalu, ramai yang sudah buat cover, selain Tik Tok dan Zumba dengan menggunakan lagu itu.

“Pengikut saya dari luar negara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura juga semakin bertambah di Instagram kerana lagu itu,” ujarnya yang ditemui ketika majlis sidang media program Ratu Hijabista baru-baru ini.

Menurut Afieq, dia sepatutnya terbang ke Indonesia untuk memenuhi jemputan mengadakan persembahan dalam sebuah program TV di sana, tetapi dibatalkan kerana penularan Covid-19.

Menganggap ada rezeki lain yang lebih baik menantinya selepas ini, Afieq kini fokus kepada pembikinan single keempatnya yang bakal dilancarkan pada September depan.

“Lagu baharu ini sebenarnya dah siap rakaman pada Ramadan lalu, cuma ia belum dilancarkan kerana kami dalam proses untuk memulakan penggambaran muzik video.

“Insya-ALLAH single bergenre R&B dan Hip Hop ini akan rilis pada September depan.

“Saya cuba memberikan kelainan pada pendengar, sebab itulah saya mempelbagaikan genre dalam setiap single saya daripada balada, reggaeton dan kini R&B Hip Hop.

“Bukan tiada identiti muzik sendiri, cuma dalam proses mencari yang terbaik dan bersesuaian dengan saya, sekali gus diterima peminat,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian di Management and Science University (MSU).

Dalam perkembangan lain, Afieq juga kembali aktif dalam bidang lakonan setelah hampir setahun tidak beraksi di set penggambaran.

“Walaupun saya sekarang lebih dikenali sebagai penyanyi, saya sebenarnya tidak pernah meninggalkan bidang lakonan.

Iklan

“Tawaran sentiasa ada, cuma kadang-kadang tak sempat buat kerana jadual kerja yang penuh, selain tugasan sebagai pelajar.

“Disebabkan aktiviti nyanyian masih belum aktif sepenuhnya selepas PKP, saya dapat terima tawaran berlakon, seterusnya memenuhi permintaan peminat.

“Insya-ALLAH saya akan muncul dalam telefilem Rock Hingga Jannah dan sebuah drama episod yang akan menjalani penggambaran tidak lama lagi,” jelas Afieq.

Mengetepikan seketika soal cinta yang sering dikaitkan dengannya termasuk gosip hubungan istimewa dengan rakan seangkatan, Wani Kayrie, kata Afieq, dia hanya bersedia menamatkan zaman solonya pada usia 28 tahun.

Iklan

“Saya tidak nafikan orang masih bercerita tentang hubungan saya dengan Wani, hakikatnya kami hanya berkawan biasa.

“Saya masih single dan tidak terikat dengan sesiapa,” katanya yang mengakui meminati gadis bertudung.

 

(FOTO: Azrul Rafie/Astro)