‘After 8 years waiting…’, Aril Pilus terkedu & sebak isteri buat surprise hamil anak kedua

ANAK merupakan anugerah terindah dari Ilahi. Memilikinya selepas berkahwin adalah impian bagi setiap pasangan.

Tidak kira sama ada dikurniakan bayi perempuan, lelaki atau kembar, kehadiran mereka pastinya mewarnai hubungan dan mengeratkan lagi ikatan suami isteri.

Kehadiran malaikat kecil itu dalam sesebuah mahligai rumah tangga memberikan seribu rahmat buat pasangan.

Seperti juga penyanyi dan pengacara, Aril Pilus meluahkan rasa sebak dan teruja apabila menerima kejutan daripada isterinya, Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Aril memuat naik sebuah video yang memaparkan dia menerima hadiah daripada isterinya.

Namun apa yang mengejutkan penyanyi lagu Menatap Matamu itu adalah hadiah tersebut merupakan sepasang baju bayi dan diselitkan juga alat ujian kehamilan yang menunjukkan isterinya kini sedang hamil cahaya mata kedua.

Terkejut dengan berita tersebut, Aril dilihat terkedu seketika lalu menitiskan air matanya di hadapan isteri dan anak lelakinya.

Malah, kelihatan juga anak lelakinya itu turut menangis kegembiraan dengan khabar gembira tersebut.

Baca juga Empat lagi bintang dijangkiti Covid-19

“Alhamdulillah doa kami ALLAH SWT dengar. Kena surprise dengan isteri sambil minum kopi, dia rahsiakan dari saya dalam sebulan lebih.

Iklan

“After 8 years waiting, dengan isteri saya ada masalah fibroid (pertumbuhan sel yang tidak normal pada rahim). ALLAH SWT kurniakan rezeki kepada hambanya.

“Biarlah saya tak mewah wang ringgit, tapi rezeki ALLAH SWT kali ini cukup-cukup bermakna untuk saya dan keluarga,”ujarnya.

Dalam pada itu, Aril turut menitipkan doa agar dia dan keluarga dipermudahkan segala urusan.

Iklan

“Semoga ALLAH SWT permudahkan urusan saya dan keluarga, semoga anda semua sentiasa dalam lindungan ALLAH SWT, Aminn,”doanya.

Aril mendirikan rumah tangga bersama isteri, Puteri Erma Edlinda pada 20 Disember 2013 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Tun Adriel Mikael, 8.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.