SETELAH beberapa ketika ‘berehat’ seketika daripada industri kreatif disebabkan terikat dengan komitmen lain yang memerlukan keutamaannya sebelum ini, pengarah dan pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri kini kembali aktif dalam bidang seni.

Bukan sahaja kembali mengarah, tetapi bekas Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Luar itu juga kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Bukan Sekadar Lafaz terbitan Pencil Pictures & Records sebagai pelakon.

Akui Ahmad Idham, 49, minatnya kepada dunia lakonan masih sama, malah tidak pernah menyatakan hasrat untuk mengundur diri seperti yang disangka ramai.

“Sebelum ini saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu berhenti berlakon, tetapi ramai yang fikir begitu apabila lihat saya sibuk dengan beberapa komitmen di bidang lain.

“Selepas saya tamat perkhidmatan dengan kerajaan pada tahun lalu, saya kembali jumpa rakan-rakan lama dalam industri dan mereka bertanya adakah saya sudah tidak mahu berlakon lagi kerana produksi perlukan pelakon-pelakon seusia saya untuk mengisi watak tertentu.

“Barulah saya tahu ramai yang tidak beri tawaran berlakon kerana fikir saya tidak berminat. Jadi menerusi pembabitan saya dalam drama Bukan Sekadar Lafaz ini, saya nak katakan yang saya masih mahu lakonan,” ujarnya.

Idham akui tidak pernah berhasrat meninggalkan industri kreatif.

Pun begitu pelakon yang pernah mencipta nama pada era 1990-an menerusi drama popular Cinderella dan Spanar Jaya itu berkata, dia agak selektif menerima sesuatu tawaran kerana mahu tampil dengan watak yang memberi impak.

“Saya tidak mahu berlakon hanya kerana mahu kembali berlakon. Dapat watak sebagai bapa yang peranannya hanya tanya khabar anak sebagaimana tipikal drama Melayu yang biasa kita lihat.

“Saya tidak kisah diberikan watak kecil atau peranan yang sedikit, tetapi biarlah watak itu menyumbang kepada cerita utama dengan peranan yang betul. Maksudnya watak itu ada kepentingan dan beri impak.

“Seronok bila dapat kembali berlakon drama setelah lama tidak dapat peluang sebegini. Rindu zaman Spanar Jaya dan Cinderella dulu,” katanya.

Iklan

Fokus dunia seni

Selain drama, Idham juga bakal tampil dengan filem terbaharu arahannya, Sahak Gangster yang sudahpun selesai penggambarannya baru-baru ini dan kini dalam proses post produksi.

Mengulas tentang dunia politik yang pernah disertai, Idham yang bertanding sebagai calon Pejuang bagi kerusi Parlimen Port Dickson di bawah parti Gerakan Tanah Air pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, berkata, buat masa ini dia hanya mahu fokus pada bidang seni.

“Saya masuk bertanding pada PRU15 lalu di bawah peranan NGO (Badan Bukan Kerajaaan) dam bukan aktif menerusi parti.

Iklan

“Untuk aktif berpolitik, saya belum ada ketetapan kerana buat masa ini saya hanya mahu fokus kepada industri kreatif yang menjadi minat saya sebelum ini,” katanya yang tewas kepada Calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya tersebut.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi