PENYANYI Aina Abdul tidak menyembunyikan hasratnya untuk melebarkan kerjaya ke Korea Selatan selepas melihat penerimaan positif terhadap lagu Sepi versi Korea di sana.

Malah, Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani mengakui menjadikan lagu-lagu artis di sana sebagai sumber inspirasi dalam berkarya.

Bagaimanapun dalam masa sama, wanita berusia 28 tahun itu sedar banyak usaha perlu dilakukan sebelum merealisasikan impian itu.

“Saya suka berangan macam-macam perkara dan melebarkan sayap ke industri muzik Korea Selatan adalah salah satu daripadanya.

“Bagaimanapun saya tahu, untuk merealisasikan itu, banyak benda perlu dilakukan. Keputusan melancarkan lagu Sepi dalam bahasa Korea itu adalah langkah pertama saya.

“Sejujurnya ketika mula-mula melancarkan lagu tersebut, macam-macam saya dan team fikirkan cara untuk pikat pendengar di sana.

“Bagi saya daripada 10 orang, dua orang suka lagu itu sudah cukup baik. Tetapi bila dapat perhatian sehingga stesen TV di sana, saya kira itu baby step untuk saya.

“Insya-ALLAH akan ada beberapa perancangan lagi selepas ini dan saya harap selepas Covid berakhir, ia akan menjadi realiti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Warna-Warni yang juga duetnya bersama penyanyi baharu, Daniesh Suffian baru-baru ini.

Terdahulu, Naib Juara Anugerah Lagu ke-35 itu mencatat rekod tersendiri apabila muncul dalam sebuah program televisyen Korea Selatan berjudul Simply Kpop Con-Tour yang disiarkan menerusi stesen Arirang TV.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)

Aina turut berkongsi hantaran dia ditemu bual dua pengacara program iaitu Kevin dan Jacob daripada kumpulan The Boyz melalui Instagram miliknya.

Kagum dengan Daniesh

Bukan itu sahaja, Aina turut memukau penonton dan pengacara program berkenaan apabila menyanyikan sedikit lagu daripada penyanyi terkenal Korea Selatan iaitu Ailee yang berjudul I Will Go To You Like The First Snow.

Dia turut menyampaikan lagu Sepi dalam versi Korea dan menerima sambutan daripada peminat K-pop selepas tular dalam media sosial.

Selain Aina, program Simply Kpop Con-Tour pernah menemu bual beberapa bintang terkenal dari Thailand, Vietnam dan Filipina dalam episod terdahulu.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai duetnya bersama Daniesh, 22, Aina gembira kerana Warna-Warni mendapat sambutan positif daripada pendengar.

Katanya, dia terbuka untuk berkolaboratif dengan Daniesh kerana vokal bakat baharu itu bersesuaian dengan vokalnya.

“Saya tak sangka Daniesh pilih saya sebagai rakan duetnya. Daniesh mempunyai masa depan yang cerah dalam industri kerana dia seorang penyanyi yang bagus,” ujarnya.

Aina dan Daniesh berduet dalam lagu Warna Warni.

Lagu Warna-Warni merupakan hasil ciptaan tiga komposer dan penulis lirik terkenal iaitu Mas Dewangga, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.

Kerjasama menggandingkan Aina dan Daniesh adalah hasil usaha sama antara MonkeyBone dan platform penstriman filem, tonton CINEMA.

Iklan

Dalam pada itu, Daniesh bersyukur apabila impian berduet dengan Aina menjadi kenyataan.

Baginya, tidak ada istilah menumpang populariti, sebaliknya melihat lagu itu bersesuaian dengan vokal mereka berdua.

“Saya dah lama teringin berduet dengan Aina dan bila dapat peluang sebegini, ia seperti impian menjadi kenyataan.

“Saya berterima kasih kepada Aina dan semua pihak belakang tabir yang terlibat dalam proses pembikinan lagu ini,” katanya yang sebelum ini dikenali dengan lagu Terabadi dan Pilihlah Aku.