Aina Abdul bukti kemampuan
HEBAT. Satu perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan Konsert A Night With Aina Abdul 2.0 (ANWAA 2.0) berlangsung dengan meriah di Istana Budaya pada Sabtu dan Ahad di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Bersaksikan ruang panggung ‘full house’ dengan kehadiran beberapa selebriti popular seperti Ziana Zain, Rozita Che Wan, Ernie Zakri dan Syamel, Aina telah berjaya memukau hadirin dengan persembahan bertenaga persis penyanyi antarabangsa.
Penyanyi berusia 28 tahun itu membuka pentas dengan lagu Fool, Maybe, diikuti Reminiscing beberapa kali menyapa peminat dan tetamu yang hadir serta menyatakan rasa terharu atas sokongan semua pihak terhadapnya.
Tampil dengan imej alter ego dress dan rambut rekaan Melinda Looi, Aina berkata, persalinan hitam itu adalah ideanya sendiri serta hasil perbincangan bersama penata gaya, Abu Shaef Hamza.
“Semua persalinan yang saya pakai ada cerita yang tersendiri. Outfit pertama itu boleh dikatakan sebagai 'alter-ego of Aina Abdul'.
“Ia diperbuat daripada lebih 150 unit rambut yang diimport, semua rambut itu adalah rambut sebenar.
“Sebenarnya agak berat untuk dipakai, tapi selesa dan kukuh. Idea untuk menggunakan material rambut datang daripada hasil perbincangan saya bersama Abu. Ketika itu konsert ini belum lagi terjadi mahupun dibincangkan,” ujarnya ketika ditemui selepas konsert tersebut.
Tidak terhenti di situ, Aina menerusi persembahan dengan seleksi lagu Sumpah, Kelip-Kelip, sebelum pantas menghilangkan diri dan tampil dengan busana kedua berwarna oren ciptaan Zaimi Zulkafli.
Menurut Aina, sebagai penyanyi berhijab, dia menggunakan masa dua minit untuk menyalin pakaian.
“Paling penting, semua baju yang saya gayakan mendapat persetujuan daripada ibu. Itu paling penting dan saya tidak kisah apa orang nak kata,” ujarnya.
Pada segmen kedua, Aina menyampaikan medley lagu Mengapa, Gemilang, Listen, diikuti lagu penuh Nada Kalbu, Ini Yang Kau Mahu, Terus Hidup (single baharu) dan Mimpi Kita yang didedikasi khas buat arwah bapa tersayang.
Persembahan rancak
Sebaik selesai menyampaikan lagu Mimpi Kita, Aina tidak terus membiarkan panggung suram dengan rasa sedih.
Muncul dengan busana rekaan Rizman Ruzaini, Aina kembali menghangatkan pentas dengan persembahan lagu medley At Last , (You Make Me Feel Like) A Natural Woman, Feeling Good, Ain’t No Mountain High Enough, Shadow dan Bleed.
Bekas protégé kepada Ratu Rock, Ella itu merancakkan lagi Panggung Sari dengan seleksi lagu medley yang pernah dinyanyikan Aina menerusi saluran YouTube miliknya seperti My All, All By Myself, Cinta Sejati, Pangako Sa Yo, I Will Go To You Like First Snow dan How You Like That.
Bagai memahami kehendak peminat, Aina akhirnya tampil menyanyikan lagu hitsnya, Semalam, sebelum pura-pura meninggalkan pentas dan kembali dengan lagu terakhir, Sepi.
Selain persalinan extravaganza dari tiga pereka fesyen itu, Aina akan memperagakan busana daripada Kuntum dan Behati pada malam kedua.
Bukan sekadar itu, penataan cahaya dan rekaan pentas berlatarbelakangkan huruf ‘A’ juga berjaya menyuntik kelas yang tersendiri.
Tahniah Aina Abdul!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang