LAGU Terus Hidup nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul menepati ramalan ramai apabila diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada malam Ahad.

Kemenangan itu melayakkan Aina, 30, membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100,000 dan trofi.

Tidak hanya itu, bintang yang semakin membina pengaruh dalam industri ini turut mengungguli kategori Vokal Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

“Saya bersyukur usaha kali keempat ini memberikan hasil yang sangat-sangat indah bagi saya, Di awal persiapan untuk AJL37 saya memang ada harapan besar untuk ‘terus hidup’ dan saya memang nak sangat rasa kemenangan ini.

“Ahamdulillah kemenangan ini juga adalah berkat doa ibu saya yang menonton dari rumah dan doa-doa peminat saya. Kemenangan ini adalah kemenangan bersama,” ujar Aina ketika ditemui selepas dinobatkan sebagai juara.

Naib juara dimenangi lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian SonaOne dan Joe Flizzow, ciptaan oleh Sonaone serta lirik oleh Sonaone dan Joe Flizzow membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos hasil ciptaan Aliff Satar, Romeo Tam Cobain dan Efry Arwis serta lirik oleh Alif Satar, Shah Shamsiri dan Romeo pula menduduki tempat ketiga. Gandingan ini memenangi wang tunai RM30,000 dan trofi.

Sementara itu Shiha Zikir memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Irama, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 beserta trofi.

Bagi Anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa, kemenangan berpihak kepada Khai Bahar yang
menyampaikan lagu Sengsara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

Iklan

Karya lain yang turut memberikan saingan ialah Kembali Terang nyanyian Marsha Milan, Bahagiakan Dia (Liza Hanim dan Shila Amzah), Korban (Ernie Zakri), Debu (Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi), Mainan (Naim Daniel), Payung Pelangi (Noki & MK) dan Nang (Iman Troye).

Kesemua finalis diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Acis, Altimet, Norynn Aziz, Jari, AD Samad, Khir Rahman, Damien Mikhail, LY dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.

AJL37 dihoskan oleh Sherry AlHadad dan Jihan Muse di pentas utama, manakala Muaz Mohamad dan Fiza Frizzy pula mengendalikan acara karpet merah yang dapat disaksikan secara eksklusif menerusi strim langsung secara HD di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Iklan

Malam kemuncak anugerah muzik berprestij yang mengangkat tema Dimensi Muzik itu turut diserikan dengan persembahan Azlan & The Typewriter, Wany Hasrita, DeFam, Kaka Azraff, Syamel, Waris, Tuju, Loca B, Masdo, Exist dan Blues Gang.


Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.