HASRAT pelawak dan usahawan, Shuib untuk bertemu dengan permata hati keempatnya, Ayash Affan akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut Shuib, biarpun sambutan ulang tahun kelahirannya pada Sabtu berbeza dengan ketiadaan isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah di sisi, namun dia bersyukur apabila dapat menyentuh dan mengucup Ayash buat pertama kalinya hari ini.

“Alhamdulillah… di hari kelahiran, Allah hadiahkan berita gembira. Dah boleh ke hospital tengok Ayash Affan.

“Ia akan jadi hari pertama melihat dan menyentuh Ayash Affan,” kata Shuib melalui Insta Story miliknya pada malam Ahad.

Ayash ketika ini masih ditempatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, selepas dilahirkan tidak cukup bulan pada 6 Ogos lalu.

Dalam hantaran berbeza, Shuib, 36, berkata, dia teringat kata-kata yang berulang kali diucap isterinya itu ketika mengandungkan Ayash.

“Masih ingat lagi ibu (Siti Sarah) selalu cakap benda yang sama berulang kali ‘baby keempat ini you jaga dia tau, you jaga okay…’.

“Insya-Allah sayang. I akan jaga dia macam mana I jaga you sampailah dia jadi anak yang soleh, anak yang akan menjadi kebanggaan you dunia dan akhirat,” luahnya.

Iklan

Siti Sarah, 36, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9 Ogos lalu di HCTM akibat Covid-19.

Allahyarham sebelum itu menjalani pembedahan tanpa sedar bagi melahirkan Ayash ketika kandungannya berusia lapan bulan pada.

Iklan

Selain Ayash, Allahyarham turut meninggalkan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

Shuib dan Siti Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.