MESKIPUN  mempunyai karakter vokal berbeza, empat penyanyi lelaki popular tanah air iaitu Akim Ahmad, Hazama, Black dan Tomok mencari satu kesamaan dalam sebuah single yang menyaksikan kolaboratif mereka bersama.

Lagu berjudul Suara Licik, sebuah karya ciptaan Taja (Meet Uncle Hussien) dan lirik oleh Ana Raffali itu telahpun dilancarkan pada 27 November lalu.

Setelah perancangan untuk beraksi dalam Konsert 4G’s di Istana Budaya pada 17 dan 18 April lalu ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), single ini terlebih dahulu dilancarkan sebagai memenuhi permintaan peminat.

Akim yang teruja menantikan reaksi peminat terhadap lagu tersebut berkata, karya lagu itu begitu unik buatnya.

“Rakaman lagu ini sangat unik, malah melodi dan lirik lagunya juga sangat bagus. Saya gembira dapat menyanyi dan merakamkan lagu ini bersama Hazama, Black dan Tomok.

“Proses rakaman bersama mereka memberi pengalaman luar biasa kerana masing-masing ada karakter dan keunikan suara tersendiri.

“Apabila bekerja dengan kawan-kawan, kita tak ‘stress’ kerana kami saling menyokong antara satu sama lain dan cuba memberikan yang terbaik dalam sesi rakaman,” katanya.

Senada dengan Akim, Black mengakui gembira dapat bekerjasama dengan rakan-rakannya yang kini sudah membina jenama sendiri dalam industri.

“Perasaan sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan sahabat yang suatu ketika dahulu sama-sama membina nama dalam industri.

“Komitmen dan semangat yang diberikan mereka bertiga menunjukkan masing-masing tidak sabar untuk melihat lagu ini dilancarkan dan dipersembahkan secara langsung pada konsert kami nanti,” katanya.

Bagi Tomok pula, gandingan itu cukup istimewa kerana ini merupakan kali pertama mereka bekerjasama dalam lagu, biarpun sudah lama bersahabat baik dalam dan luar industri.

Iklan

“Alhamdulillah, lagu ini sangat istimewa kerana ini adalah pertama kali kami digabungkan bersama dalam satu lagu.

“Sebenarnya, bergandingan dengan semua sahabat saya ini satu perkara yang sangat menarik. Benda susah jadi mudah  sebab kami tolong antara satu sama lain.

“Pada malam Konsert 4G’s nanti, kami akan persembahkan kepada semua. Saya sangat berharap lagu ini diterima dan dekat di hati peminat,” katanya.

Sementara itu, Hazama menyifatkan kerjasama bersama Akim, Tomok dan Black itu berlangsung dengan mudah kerana mereka saling memberi tunjuk ajar.

Iklan

“Pengalaman bersama mereka bukan sahaja dalam lagu ini malah semasa kami bersama-sama di dalam industri.

“Mereka ini banyak memberi tunjuk ajar dan boleh menerima pandangan dari pihak lain.

“Masing-masing memberikan komitmen yang sangat tinggi sewaktu merakamkan lagu ini,” katanya.

Suara Licik kini boleh didapati di kesemua platform digital muzik, manakala video liriknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.