Aksi padu, Mortal Kombat penuh kejutan

A
A
A

SETELAH hampir setahun tidak dapat menonton filem-filem kegemaran di pawagam, kini Mortal Kombat mengubati kerinduan penonton apabila mulai ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 April lalu.

Menerusi garapan kreatif daripada pengarah Simon McQuoid, filem adaptasi daripada sebuah permainan video popular itu tampil dengan aksi pertarungan yang penuh kejutan.

Tidak perlu dibandingkan dengan Mortal Kombat terdahulu yang pernah diterbitkan pada tahun 1995 dan sekuelnya pada 1997, versi kali ini dilihat lebih padu dan menghiburkan.

Filem itu mengisahkan tentang Cole Young, seorang ahli MMA yang selama hidupnya hanya tahu bertarung dan tidak pernah mengetahui asal usul keluarganya yang berdarah pahlawan hebat.

Sehinggalah tiba ketika Maharaja Shang Tsung dari Outworld menghantar pahlawan terbaiknya, Sub-Zero untuk memburu Cole demi kekuasaan mereka.

Demi keselamatan anak dan isterinya, Cole mencari Sonya Blade atas arahan Jax, seorang bekas tentera yang mempunyai simbol naga yang sama dimiliki Cole.

Tidak mempunyai pilihan lain, Cole bersetuju untuk mengikuti mereka menjalani latihan di kuil Lord Raiden dan mengenal pasti kemampuan aksi yang dimiliki sebagai persiapan melawan musuh-musuh dalam satu pertarungan epik.

Bagi peminat filem aksi, Mortal Kombat tentunya menyajikan babak pertarungan yang begitu padu seawal filem bermula. Penuh kejutan dan sentiasa membuat penonton tidak senang duduk.

Sesuai dengan klasifikasi filem ini untuk tontonan 18 tahun ke atas, filem ini sarat dengan aksi-aksi ganas dan ngeri yang tidak dijangkakan.

Aksi-aksi pertarungan yang dipaparkan turut disokong dengan penggunaan prop yang meyakinkan. Tidak hanya itu, senjata-senjata yang digunakan untuk setiap karakter dlam filem itu turut mencuri perhatian ramai kerana keunikannya.

Meski jalan ceritanya agak longgar dengan lakonan yang hanya biasa-biasa, Mortal Kombat masih berbaloi untuk ditonton.

Mungkin pengikut tegar permainan video Mortal Kombat meletakkan jangkaan yang tinggi untuk filem ini, namun bagi penonton biasa, Mortal Kombat versi terbaharu ini tetap menghiburkan.

Malah rata-rata penonton termasuk pembaca Sinar Harian yang menjadi antara yang terawal menonton filem itu menerusi Tayangan Eksklusif Wayang HibSinar x Mortal Kombat di Imax, TGV 1 Utama pada 7 Februari lalu turut memberikan respon positif.

Mortal Kombat

Bahasa: Inggeris

Klasifikasi: P18

Genre: Aksi/pengembaraan

Durasi: 1 jam 50 Minit

Tarikh Tayangan: 8 April 2021

Pengarah: Simon McQuoid

Pelakon: Ludi Lin, Joe Taslim, Tadanobu Asano, Jessica McNamee dan Mehcad Brooks

Bintang: 4/5

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca