MESKIPUN sudah membuat persiapan terbaik untuk tampil di pentas akhir program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada Ahad lalu, penyanyi Shila Amzah berdepan ujian apabila keadaan kesihatannya terganggu sehingga hilang suara.

Susulan itu, pemilik nama sebenar Nur Shahila Amir Hamzah gagal beraksi cemerlang, sekali gus akur menduduki tempat ketiga di belakang Jaclyn Victor selaku juara dan Bob bergelar naib juara.

Jelas Shila, sejak beberapa hari lalu dia hilang suara selain sukar untuk mendengar disebabkan telinga kirinya bengkak akibat jangkitan kuman.

“Saya mula rasa sakit pada Rabu tapi masih okey lagi sehinggalah hari Jumaat ketika melakukan soundcheck, telinga kiri saya tidak dapat mendengar dan terpaksa bergantung pada telinga kanan sahaja.

“Bagaimanapun pada hari berikutnya, alhamdulillah saya rasa kembali okey dan berjaya membuat persembahan di Semi Final Muzik Muzik dengan dua buah lagu seperti biasa tanpa sebarang masalah.

“Bagaimana pun, bila kembali membuat persiapan GV9 perkara itu berlaku lagi. Saya hilang suara dan tidak boleh buat apa kerana ia semua di luar kawalan saya,” jelasnya kepada SinarPlus.

Aksi bertenaga Shila di pentas akhir GV9.

Biarpun terbit rasa kecewa dengan apa yang berlaku itu, Shila, 32, mengakui tetap bersemangat melakukan yang terbaik mengikut kemampuannya ketika itu demi peminat yang menyokong.

“Sudah tentu saya berasa sangat kecewa, tetapi kekecewaan itu lebih kepada keadaan saya yang tidak dapat menyempurnakan persembahan tersebut sebaimana yang dirancangkan.

“Misalnya permintaan saya menggunakan air ketika mengadakan persembahan untuk lagu Tak Ada Logika dan Secret Love Song dapat direalisasikan tetapi dari segi vokal, saya percaya boleh buat lebih baik daripada apa yang anda saksikan itu.

Iklan

“Apa-apa pun ia akhirnya berbalik kepada rezeki. Alhamdulillah, saya sudah buat yang terbaik mengikut kemampuan dan keadaaan kesihatan pada ketika itu,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Patah Seribu itu turut menolak anggapan yang mendakwa masalah tersebut berlaku kerana dirinya kurang rehat apabila terlibat dalam dua buah program pertandingan pada minggu sama dengan beberapa buah lagu mencabar secara berterusan.

“Secara jujurnya saya tidak rasa begitu. Walaupun membuat persembahan secara berterusan, saya rasa ia bukan satu masalah kerana saya sentiasa melakukan senaman dan latihan bersesuaian sebagai sebagai rutin,” katanya.

Iklan

Malam kemuncak GV9 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein itu menyaksikan Shila berada di tempat ketiga, diikuti Tomok, VE dan Hazrul Nizam mengisi kedudukan yang keempat, kelima dan keenam.

Sementara itu, Jac dinobatkan sebagai juara, manakala Bob Yusof pula menyandang gelaran naib juara.

(FOTO: AZRUL RAFIE – ASTRO)