PELAKON dan penyanyi terkenal, Erra Fazira memberitahu anaknya, Engku Aleesya sangat gembira setelah bapanya, Engku Emran Zainal Abidin berkahwin buat kali ketiga.

Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 47, kegembiraan itu lebih terarah kepada impiannya untuk mendapat adik menjadi kenyataan.

“Setakat ini yang saya tahu dia sangat gembira, gembira lebih kepada mendapat adik sebab dia nak sangat adik.

“Jadi dengan kehadiran Jayden (Jebat Jayden Ahmad), secara tak langsung impiannya mendapat adik menjadi kenyataan.

“Dia sering memuji Jayden dengan mengatakan Jayden budak yang bijak, lebih daripada usianya.

“Sebagai ibu, saya nasihatkan untuk menjadi kakak yang baik dan jaga adik dia,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan beliau dan Wany Hasrita sebagai duta baharu pelitup muka Himaya di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada pagi Selasa.

Erra dan Wany Hasrita menjadi wajah baharu untuk jenama pelitup muka, Himaya.

Ditanya adakah dia mengetahui lebih awal bekas suaminya itu akan mendirikan rumah tangga dengan kakak Neelofa, Noor Nabila Mohd Noor, Erra berkata, sebagai ibu, dia ada dimaklumkan oleh Aleesya, 12.

“Sebagai seorang ibu, saya diberitahu oleh anak saya dan ketika itu mereka baru berkenalan, tetapi saya tahu setakat itu sahaja dan tidak tahu sejauh mana hubungan itu.

“Apa pun sebagai ibu, saya hanya mahu anak saya menjadi individu yang baik kepada pasangan bapanya,” jelasya.

Diusik bilakah gilirannya untuk kembali berumah tangga, penyanyi lagu Menangkah Cinta itu berkata, semuanya terpulang kepada persetujuan anaknya.

Iklan

“Buat masa ini saya hanya tunggu dan lihat. Kalau ada, adalah. Mak ok je, anak ok, mak ok. Anak tak ok, mak susah hati.

“Sebelum ini Aleesya ada berkata, dia tak kisah ayahnya berkahwin, tetapi saya jangan. Saya harap dia bergurau sahajalah,” katanya sambil ketawa.

Erra memaklumkan Aleesya semakin gembira setelah impiannya menjadi kakak dimakbulkan.

Sementara itu, Erra berkata, hubungannya dengan penyanyi Syahir sudah lama berakhir, namun mereka masih berhubung sebagai seorang kawan.

Iklan

Dia buat masa ini tidak meletakkan kriteria tertentu pada mana-mana lelaki yang mahu mendekatinya, namun mengharapkan seorang yang bertanggungjawab dan boleh menjaga keluarganya.