KEADAAN kesihatan vokalis kumpulan XPDC, Ali menunjukkan perkembangan positif dan kini masih meneruskan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur.

Ali, 53, dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama enam bulan daripada aktiviti nyanyian sehingga dia benar-benar pulih.

Dua anaknya, Wan Aliuddin Aqiel, 26, dan Wan Nurazmyn, 24, mengakui keluarga mereka kini sedang berdepan masalah kewangan untuk menampung kehidupan harian termasuk menyediakan keperluan serta kos rawatan bapa mereka.

“Melihat kepada keadaan kesihatan baba (ayah) sekarang, kami sepakat untuk mengambil tanggungjawab menggantikan tempatnya mencari rezeki buat keluarga.

“Kebetulan kawan baba, seorang ustaz ada menawarkan kami untuk berniaga secara percuma di kedai miliknya yang terletak di tapak bazar Sungai Besi.

“Jadi kami merancang untuk berniaga makanan kering seperti kerepek dan kuih raya yang diambil dari Pulau Pinang menjelang Ramadan nanti.

“Buat masa sekarang kami sedang mencari modal yang dianggarkan kira-kira RM6,000 untuk menjalankan perniagaan itu,” kata mereka kepada SinarPlus.

Wan Aliuddin dan Wan Nurazmyn ditemui ketika sidang media majlis Berbuka Puasa RASA (Cinta Di Sebalik Musim) Datuk Ramli Sarip di Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kehadiran mereka mewakili Ali bagi menerima sumbangan tabung penggiat seni sumbangan penganjur acara tersebut, Mukmin Pay Sdn Bhd dengan sokongan Konsortium IRAMA.

“Alhamdulillah bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami untuk membeli keperluan baba seperti susu khas dan lampin pakai buang. Hospital bagi susu tersebut untuk tempoh sebulan sahaja dan selepas itu kami kena beli sendiri.

“Buat masa ini, kami sekeluarga tinggal sementara di rumah ibu saudara di Balakong untuk menjimatkan kos berulang-alik menjaga baba di hospital.

Iklan

“Kalau kami dari Rantau Panjang, Klang ke Cheras, kos perjalanan memang agak tinggi,” kata Wan Nurazmyn yang terharu apabila ramai rakan dan kenalan Ali terutamanya anggota XPDC yang prihatin dan mengambil berat terhadap bapanya.

Dalam pada itu, Wan Aliuddin yang kini berada di tahun akhir pengajian dalam jurusan Fikah dan Syariah Islamiah di sebuah Maahad Tahfiz di Pulau Pinang berkata, dia mengambil keputusan untuk cuti sehingga Aidilfitri ini untuk membantu keluarga menguruskan bapa mereka.

“Kalau ikutkan, baba memang tak nak anak-anaknya bekerja dan hanya mahu kami tumpukan perhatian pada pelajaran. Namun dalam keadaan sekarang, saya fikir adalah lebih baik untuk tangguhkan pengajian seketika.

“Ummi (ibu) memberi kebenaran kepada kami untuk bekerja dan menyuarakan hasrat itu kepada baba. Insya-ALLAH selain kami berdua, seorang lagi adik iaitu Wan Ainin, 18, akan turut serta membantu untuk sama-sama berniaga nanti.

Iklan

“Kami harap orang ramai terutamanya peminat baba dapat memberikan sokongan kepada produk jualan itu nanti,” katanya.

Terdahulu pada 4 Mac lalu, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah. Selepas seminggu di hospital, keadaan kesihatan Ali semakin merosot dan terpaksa ditidurkan akibat mengalami kesukaran bernafas.

Bagaimanapun keadaan kesihatannya kini beransur pulih dan dibenarkan keluar dari Hospital Ampang pada Selasa minggu lalu sebelum meneruskan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur.