BIARPUN sibuk dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan, pelakon yang kini bergelar penyanyi, Fattah Amin, mahu berkongsi keindahan bulan mulia ini dengan menampilkan alunan zikir untuk dikongsi bersama peminat.

Tidak seperti ramai rakan seangkatan yang memilih karya komersial untuk diketengahkan, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 33, ternyata sebaliknya apabila lebih menggemari genre dakwah, ketuhanan serta karya yang memuji dan memuja keagungan Allah SWT.

Terbaru, Fattah tampil melancarkan lima lagu zikir eksklusif sempena bulan Ramadan yang boleh didapati menerusi aplikasi Mukmin Pro yang diasaskan bersama isterinya, pelakon Nur Fazura.

Menurut Fattah, peluang melagukan zikir secara eksklusif di aplikasi tersebut merupakan satu penghormatan besar buat dirinya.

“Saya berharap lagu zikir ini membawa ketenangan dan kedamaian kepada mereka yang mendengarnya semasa bulan Ramadan yang berkat ini.

“Pada mulanya kami rancang mahu hasilkan tiga zikir sahaja, tetapi tiba-tiba rasa macam tak cukup kerana satu zikir berdurasi dua minit. Ia terlalu sekejap sangat.

“Jadi kami tambah lagi dua sampailah lengkap lima trek. Zikir-zikir yang dipilih ini memang orang sudah biasa dengar, tetapi kami memberi kelainan dengan membuat susunan muzik baharu,” ujarnya.

Fattah mahu mengajak peminat memuja kebesaran Allah SWT dengan alunan zikir.

Lima zikir tersebut ialah Iktiraf, Taubat Nasuha, La Hawla Wa La Quwwata Illa Billah, Rabbi Yassir dan Zikir Fatimah.

Fokus baharu

Karya terbitan Mukmin Pro itu merupakan sebahagian daripada fokus baharu Fattah dan berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak kandungan zikir dan muzik Islamik.

Apatah lagi projek ini dihasilkan menerusi jenama Masyhur iaitu label rekod di bawah Universal Music yang turut menyokong inisiatif tersebut.

“Sebenarnya saya dan isteri, Fazura sudah lama berkeinginan untuk buat aplikasi sebegini. Kami pernah terdetik, satu hari kami teringin nak ada program begini.

Iklan

“Dari situlah bermulanya idea bangunkan aplikasi Mukmin Pro ini. Saya merancang untuk buat lebih banyak lagi fungsi lain, selain daripada fungsi sedia ada di platform tersebut. Salah satunya Daily Zikir.

“Saya merupakan artis naungan Universal Music dan dua lagu yang dihasilkan dengan mereka sebelum ini pun lagu ketuhanan. Jadi saya terfikir, kenapa tak buat zikir daripada saya untuk diletakkan dalam salah satu fungsi aplikasi ini, selain membuka peluang kepada artis lain pada masa akan datang,” katanya.

Fattah (tengah) ketika majlis pelancaran Zikir Fattah di Universal Music Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mengharapkan agar zikir-zikir tersebut akan menjadi pilihan peminat untuk dihayati.

“Saya berharap agar peminat dapat dapat menghayati zikir-zikir ini untuk refleksi dan meditasi spiritual sepanjang Ramadan,” ungkap bapa kepada seorang anak itu lagi.

Iklan

Lagu-lagu zikir alunan Fattah itu juga boleh didengari melalui platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube yang sudah dilancarkan sejak awal Ramadan lalu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.