USAHA pengacara dan penghibur, Alvin Anthons untuk membawa kelainan ketika Malaysia berhadapan dengan penularan Covid-19 berbaloi, apabila program yang disiarkan secara langsung menerusi Instagram itu mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Menurut Alvin, program bertajuk The Nite Nite Show with Alvin Anthons itu diiktiraf sebagai First Instagram Live Broadcasting Talk Show.

Walaupun penggunaan Instagram Live bukanlah satu aktiviti yang asing, The Nite Nite Show with Alvin Anthons merupakan sebuah rancangan hiburan pertama di Malaysia yang disiarkan secara lansung melalui aplikasi Instagram, dilengkapi set studio dan DJ secara lansung.

Tidak ketinggalan juga tetamu-tetamu istimewa yang hadir melalui akaun Instagram masing-masing, di mana mereka akan berbincang mengenai isu-isu semasa dan menyertai segmen permainan yang menarik, dicipta khas bagi setiap tetamu yang hadir.

“Rancangan ini merupakan rancangan pertama yang berjaya menggunakan layout Live-Multi-Output di mana ia menggabungkan penyiaran visual daripada kedua-dua belah pihak (hos dan tetamu), audio dan muzik secara lansung yang dimainkan oleh DJ sepanjang durasi rancangan dilaksanakan, di bawah produksi yang berkualiti tinggi.

The Nite Nite Show with Alvin Anthons merupakan rancangan bual bicara kedua bagi saya, sebagai seorang hos.

“Sebelum ini saya pernah mengendalikan sebuah rancangan bual bicara bertajuk Let’s Talk, yang bersiaran di Radio Televisyen Malaysia TV2.

“Program bual bicara hiburan ini telah meraih lebih 1 juta penonton bagi setiap episod sepanjang penyiarannya selama tiga musim, pada tahun 2000,” ujarnya.

Alvin menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records baru-baru ini.

Menggunakan format Bahasa Inggeris, rancangan bual bicara malam ini telah pun menamatkan musim pertama pada hujung bulan Julai 2020 yang lepas di samping kejayaan membawa 13 nama selebriti top dari Malaysia, Singapura dan juga Amerika Syarikat sebagai tetamu rancangan.

Iklan

Antara nama besar yang muncul adalah seperti Datuk Hans Isaac, Datuk Norman (KRU), Gurmit Singh aka Phua Chu Kang, Amber Chia, Allan Wu (Amazing Race Asia) dan Justin Bratton (Asia’s Got Talent).

Program ini bersiaran secara lansung dua kali seminggu, di laman akaun Instagram (@Alvinanthons), setiap hari Selasa & Khamis, jam 10 malam.

Bagi mereka yang mahu menonton rakaman itu, boleh berbuat demikian menerusi YouTube Alvin Anthons.

Iklan