SETELAH tertangguh ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) akan diteruskan pada 20 Disember ini.

Buat pertama kalinya juga, AME 2020 bakal berlangsung mengikut norma baharu berdasarkan ketetapan SOP (prosuder operasi standard) yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Masih mengekalkan tema  Epik Glam dengan tagline Yang Epik, Yang Legend,  AME 2020 bakal menyaksikan gandingan pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Bakal dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, jam 9 malam secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123). Manakala rakaman acara Karpet Merah AME2020 yang dibawakan oleh Astro GO pula akan disiarkan jam 8.30 malam pada hari yang sama sebelum siaran malam kemuncak.

Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan & Drama Astro, Raqim Ahmad, keputusan penuh AME 2020 bagi setiap kategori sudahpun dikenal pasti setelah kiraan rasmi dibuat sejurus selepas talian undian fasa kedua ditutup pada 31 Mac yang lalu.

”Tahun 2020 cukup mencabar kerana krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia ternyata telah mengubah pola kelaziman biasa kepada resam baharu secara menyeluruh.

”Walaupun sukar, kami berbesar hati kerana dapat menyempurnakan penganjuran AME 2020 yang sudahpun menjadi rutin tahunan sejak mula diperkenalkan pada tahun 2014.

”Kami juga cukup teruja untuk berkongsi keputusan penuh edisi kali ini yang merupakan pilihan peminat sebelum dunia berubah akibat Covid-19.

”Situasi semasa yang penuh kekangan juga tidak pernah dilihat sebagai halangan, malah ia menjadi pembakar semangat yang mendorong kami bekerja dengan lebih keras untuk berkarya secara kreatif dan di luar zon kebiasaan secara satu pasukan.

Iklan

”Kami juga ingin tekankan bahawa penganjuran AME 2020 bukanlah berlandaskan kepada hiburan semata-mata kerana ia merupakan platform interaktif yang terbaik untuk menyalurkan maklumat penting dan efektif kepada para penonton.

”Acara ini juga memainkan peranan untuk memudahkan proses normalisasi kepada amalan norma baharu dalam meneruskan kelangsungan hidup selepas krisis ini berakhir.

Iklan

Keputusan untuk meneruskan penganjuran AME 2020 adalah tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kami selama ini.

”Nantikan pelbagai kejutan epik yang telah disusun rapi bagi menyemarakkan lagi edisi tahun ini meskipun diadakan dalam skala kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AME ialah sebuah anugerah pilihan penonton yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan pemenang bagi kesemua 15 buah kategori utama yang dipertandingkan. AME 2020 merupakan penganjuran edisi ketujuh sejak mula diperkenalkan pada tahun 2014.