PENYANYI dan anggota kumpulan Forteen, Ameer berkongsi berita gembira menimang cahaya mata kedua apabila isterinya, Siti Nurnaja’a Shamsul Kamar, selamat melahirkan bayi lelaki pada Selasa.

Menurut Ameer menerusi perkongsian di laman Instgram, cahaya mata keduanya itu dilahirkan secara normal dengan berat 3.77 kilogram (kg).

“Alhamdulillah.. kami ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Putera kedua kami telah selamat dilahirkan pada hari selasa, 2 March 2021 bersamaan dengan 18 Rejab 1442 Hijrah pada jam 7.52 pagi tadi secara normal. Seberat 3.77kg,” ujar Ameer.

Dalam pada itu, Ameer atau nama sebenarnya Mohd Arif Ameerais Azhar, 31 turut memohon orang ramai agar mendoakan kesejahteraan isteri dan bayi yang baru dilahirkan itu.

“Doakan semoga ibu dan baby sihat sentiasa dan dipermudahkan urusan.

Iklan

“Terima kasih atas titipan doa dari kalian. Semoga doa yang baik-baik berbalik pada kalian juga. Insya-ALLAH,” katanya yang baru sahaja menyambut ulang tahun kedua perkahwinan pada 1 Mac.

Iklan

Ameer dan isteri mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Eusoff yang kini berusia setahun.