Amelia, Sean Lee profesional dalam kerja
BUKAN mudah untuk pelakon sedang meningkat naik, Amelia Handerson dan Sean Lee untuk bergandingan sebagai pasangan kekasih di layar skrin, lantaran kedua-duanya bersahabat baik dalam dunia realiti.
Bagaimanapun, atas dasar profesional, baik Amelia mahupun Sean, cuba menyempurnakan sebaik mungkin peranan mereka dalam drama Romantika 4 Hari 3 Malam di slot Lestari, TV3, setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam.
Menurut Amelia atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson, 26, sebagai pelakon dia tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan sesiapa sahaja, malah tidak pernah memilih rakan gandingan.
“Saya tidak kisah bergandingan dengan pelakon mana pun, tetapi bila digandingkan dengan kawan baik sendiri, apatah lagi untuk cerita romantis, ia agak mencabar.
“Saya dan Sean tidak ada masalah membentuk keserasian kerana saling mengenali, tetapi bila menjayakan watak Lana Analia dan kena buat babak romantik bersamanya, memang saya tak boleh fokus kerana asyik ketawa sahaja.
“Apa pun sebagai pelakon, kami perlu bersikap profesional dan memberikan yang terbaik agar lakonan tersebut menepati kehendak cerita dan diterima penonton,” ujarnya ketika sidang media drama Romantika 4 Hari 3 Malam yang diadakan secara virtual baru-baru ini.
Dalam pada itu Amelia yang cukup sinonim dengan watak air mata, mengakui mahu mencari kelainan dalam lakonan dengan mempelbagaikan watak.
Bagaimanapun dia terpaksa akur apabila ramai menyukai lakonannya dalam karakter berkenaan sehinggakan sering diberikan tawaran sama.
“Saya sendiri pun tak tahu kenapa sering diberikan watak sedih, teraniayai, disakiti dan sebagainya yang cenderung kepada konflik berat. Pendek kata, mesti ada babak menangis.
“Memang penat bila asyik dapat watak sebegitu kerana ia ada ketika saya sampai terbawa-bawa sehingga ke luar skrin.
“Namun dalam satu aspek lain, saya melihat karakter sebegitu banyak mencabar lakonan saya kerana ia berbeza dengan karakter sebenar diri dalam dunia realiti,” akuinya.
Mengulas pujian ramai berkenaan kemampuannya yang kini boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan lebih baik, Amelia yang berdarah campuran India dan Scotland itu mengakui kerjayanya sebagi pelakon banyak membantu.
“Memang orang selalu bercakap tentang tahap kemampuan saya berbahasa Melayu kerana pada awal pembabitan saya dulu, saya agak pelat dan kurang fasih bertutur bahasa Melayu.
“Bagaimana bila semakin banyak berlakon drama Melayu dan dapat pula watak-watak yang memerlukan saya bertutur bahasa Melayu sepenuhnya, banyaklah perubahan dapat dilihat,” katanya yang bakal tampil dengan dua buah drama baharu akan datang.
Sean terharu diterima peminat
Senada dengan Amelia, Sean turut mengakui kekok bila pertama kali digandingkan sebagai pasangan kekasih dengan sahabatnya itu.
“Kami sebenarnya sudah lama kenal, malah sebelum ini pernah sama-sama membintangi drama Keluarga Pontimau (2015), tetapi ketika itu digandingkan sebagai adik-beradik.
“Jadi bila kena buat aksi ‘sweet’ dengan Amelia, memang saya rasa kekok sangat sehingga ada beberapa babak kena buat banyak kali.
“Bagaimanapun, ia satu kenangan manis buat kami kerana dapat bekerja sama-sama dan kongsi pengalaman dalam satu set yang sama,” katanya yang memegang watak sebagai Amar Najwan.
Mengakui selesa membina kerjaya dalam industri hiburan Melayu, pemilik nama lengkap Sean Lee Jia Ern, 27, berkata, dia sentiasa menghargai peluang yang hadir dalam hidupnya.
“Saya bermula dengan industri hiburan Melayu dan banyak peluang yang saya peroleh di sini berbanding industri lain.
“Bagaimanapun itu tidak bermakna saya tidak mahu terlibat dengan produksi lakonan berbahasa Inggeris atau Mandarin, cuma mungkin masa atau peluangnya belum tiba.
“Bagi saya, lebih baik saya hargai apa yang saya dapat sekarang berbanding fikirkan benda yang belum ada,” katanya.
Dalam masa sama, Sean yang juga aktif sebagai pengacara itu terharu apabila kehadirannya diterima baik, terutamanya dalam kalangan peminat Melayu.
Malah ada di antara mereka cuba mendekati jejaka Tionghua itu dan berhasrat untuk menjalinkan hubungan cinta.
“Seronok bila bakat saya dihargai peminat dan sentiasa mendapat sokongan daripada mereka.
“Setakat ini peminat saya semuanya okay dan tidak ada yang terlalu obses sehingga cenderung melakukan sesuatu yang di luar jangkaan saya.
“Setakat ajak bercinta dan kahwin itu memang ada, tetapi saya anggap sebagai gurauan dan layankan sahaja usikan mereka untuk hiburan.
“Bagaimanapun, secara peribadi saya tidak memilih jodoh dalam kalangan bangsa apa pun kerana bagi saya cinta itu akan datang bila tiba masanya dan tidak kira dengan siapapun,” tegasnya.
Berkongsi perkembangan terkini, Sean berkata, selain daripada rakaman program I Can See Your Voice (ICSYVMY) musim terbaharu, dia juga akan sibuk di lokasi drama dan filem baharu.
“Selain drama, saya bakal tampil dengan sebuah filem terbitan produksi luar yang juga merupakan filem pertama saya.
“Jika semuanya berjalan mengikut perancanga, saya juga akan menghasilkan sebuah projek web series sendiri yang bakal menyaksikan penglibatan sepanuhnya dalam produksi sebagai penerbit, pengarah dan pelakon,” ujarnya.
(FOTO: TV3)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang