PENYERTAAN  dalam program Big Stage 2020 yang baru sahaja melabuhkan tirai awal bulan lalu ternyata memberi pengalaman baharu kepada penyanyi Amir Hassan.

Biarpun tersingkir pada konsert minggu ketiga, Amir, 24, mempunyai perancangan tersendiri untuk terus mengembangkan bakat nyanyiannya, sekali gus menempatkan diri dalam industri.

Selepas tampil dengan single Bicaramu dan Gadis Yang Ku Tunggu, Amir kembali mempertaruhkan lagu terbaharu yang juga merupakan single ketiganya berjudul, iShy.

Lagu itu ditulis sendiri oleh Amir Hasan bersama Mingaling, seorang komposer dan penerbit yang semakin meningkat naik dari kumpulan Hip Hop Malaysia, MassMusic.

Menurut Amir, single terbaharunya itu tampil berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum bergelar penyanyi rakaman, saya sebenarnya lebih cenderung ke arah muzik Hip-Hop, namun berubah apabila tampil dengan single sendiri.

“Bagaimanapun, selepas menghasilkan lagu berentak pop Melayu untuk single pertama dan kedua, saya rasa sudah tiba masanya untuk mengambil pendekatan berbeza untuk single ketiga saya.

“Jadi untuk single iShy ini, saya mengetengahkan muzik berentak urban, sekali gus memberi kelainan dalam nyanyian saya,” ujar Amir.

Mengulas tentang kolaboratif bersama Mingaling, Amir berkata, proses tersebut menjadi pengalaman berharga buatnya untuk terus menimba ilmu.

“Ini adalah kolaboratif pertama saya dengan Mingaling yang sebelum ini pernah menghasilkan banyak lagu hits tempatan.

“Sepanjang bekerjasama dengan Mingaling terutamanya dalam proses rakaman lagu, saya banyak belajar benda baharu.

“Dia banyak membantu saya mengasah lagi kemahiran menulis lagu dan meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman muzik saya,” kata Amir.

Bercerita lebih lanjut tentang iShy, kata Amir, lagu tersebut mengusahkan tentang lelaki pemalu yang mencintai seorang gadis dalam diam.

“Sejak dahulu hingga kini, lelaki selalu diharapkan untuk mengambil langkah pertama dalam hal mencari jodoh, tetapi bagaimana pula dengan lelaki yang bersifat introvert atau pemalu?

Iklan

“Saya percaya ini adalah kisah yang pernah dilalui oleh kebanyakan lelaki di luar sana, di mana tidak semua lelaki mempunyai keyakinan untuk menyatakan perasaannya.

“Malah bila bercakap tentang kisah menyimpan rasa cinta dalam diam, sesiapa pun boleh melaluinya tanpa mengira jantina.

“Mudah-mudahanlagu iShy ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk lebih berani menyatakan rasa cinta mereka kepada seseorang,” katanya.

Dalam pada itu, Amir juga mengharapkan agar single terbitan Warner Music Malaysia itu dapat diterima ramai.

Iklan

“Saya berharap para pendengar terutamanya peminat dapat menerima baik lagu ini dan terus menyokong muzik saya selepas ini,” akhirinya.

Single iShy kini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 30 Oktober lalu. Manakala lirik video rasmi lagu tersebut pula boleh ditonton di YouTube Warner Music Malaysia.

 

(FOTO: Warner Music Malaysia)