Amir Masdi realisasi hasrat ibu

0
248

BIARPUN masih hangat dengan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah, penyanyi yang semakin popular, Amir Masdi nampaknya tidak mengambil masa lama untuk tampil dengan single baharunya, Sengaja.

Kali ini pemilik nama penuh Amir Syazwan Masdi memilih untuk bekerjasama dengan komposer berbakat besar iaitu Hang Nadim (Akim Ahmad) dan Bunga Cantik (Stacy), manakala syarikat rakaman Nova Music bertindak selaku penerbit.

Berkongsi mengenai lagu Sengaja, jejaka berusia 27 tahun itu memberitahu, dia sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan pasangan suami isteri itu selain dapat memenuhi hasrat ibunya.

“Selama enam tahun saya bergelar anak seni, mak saya selalu mengingati saya untuk mendapatkan lagu daripada Hang Nadim. Mak saya pun teringin juga nak lihat saya menyanyikan sebuah lagu daripada Hang Nadim.

“Saya berasa sangat bertuah dan bersyukur bila dapat sokongan serta restu daripada mak saya. Jadi, dengan restu mak, usaha saya dan pasukan, alhamdulillah apa yang diimpikan kami berdua selama ini kini menjadi kenyataan.

“Saya sangat bersyukur sebab tak tahu rezeki datang bila. Saya berpegang dengan prinsip bahawa hasil tidak akan mengkhianati usaha,” katanya.

Amir dan ibunya sudah lama mengagumi hasil karya Akim dan Stacy.

Tambah juara Akademi Fantasia 2016 itu, dia terus jatuh cinta dengan lagu Sengaja ketika kali pertama mendengar demo lagu tersebut.

“Pertama kali saya dengar demo lagu ini, saya rasakan ia adalah lagu yang sangat bagus. Lagu ini mengisahkan seorang individu yang memendam perasaan. Dalam lagu ini dia meluahkan bahawa dia selalu dipersalahkan.

“Apa sahaja yang dibuat pasti dia akan dipersalahkan. Pertama kali dengar, saya boleh masuk dengan lagu ini dan saya pasti ramai yang boleh kaitkan kisah daripada lagu ini,” jelasnya.

Orang tengah

Berkongsi lanjut mengenai kerjasama dengan Hang Nadim dan Bunga Cantik, Amir berkata, semuanya bermula daripada cadangan pihak pengurusan dan syarikat rakamannya.

Iklan

“Sebenarnya, saya tak berhubung secara langsung dengan Hang Nadim untuk minta sebarang lagu dan hanya minta tolong pihak pengurusan dan syarikat rakaman saya untuk bertanyakan kepada Hang Nadim.

“Bagaimanapun jawapan itu saya tak dapat dalam masa yang singkat mungkin kerana saya masih belum cukup bersedia ketika itu atau ada sebab lain. Namun lagu ini sesuai dengan waktu dan momentum yang saya ada sekarang ini,” ujar Amir.

Mengenai kerjasama dengan pasangan suami isteri itu, anak kelahiran Selangor itu menyifatkan tidak sukar untuk bekerjasama dengan kedua-duanya.

Iklan

“Mereka sangat profesional, bekerja dengan mereka juga seronok. Tak ada pun terjadi perkara tidak sepatutnya dan saya sangat gembira apabila semuanya berjalan lancar.

“Bunga Cantik pula sangat mengambil berat karakter saya dalam lagu dan suara. Kebanyakan idea dan pembikinan lagu ini datang daripada mereka dan saya cuba sampaikan dengan baik,” katanya.

Lagu Sengaja boleh distrim di semua pelantar striming muzik pada hari tersebut. Video lirik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.