PENYANYI rock legenda, Amy Search menjadi antara penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan Hari Jadi ke-73 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada Rabu.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi A Rahman, 64, merupakan satu-satunya penggiat seni yang disenaraikan sebagai penerima pingat pada acara yang berlangsung di Dewan Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka itu.

Menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu amanah, Amy menerusi satu temubual bersama sebuah portal melahirkan rasa syukur di atas kurniaan itu selepas 42 tahun menjadi anak seni.

“Syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Tun Ali Rustam dan semua pihak yang terlibat.

“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk kepada saya ini tidak akan merubah Amy Search yang semua kenali selama ini. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik yang dikenali,” katanya.

Vokalis kumpulan Search itu memulakan kerjaya seninya sekitar 1980-an dan mencipta nama dengan pelbagai kejayaan dan pengiktirafan dalam industri seni.

(FOTO: Instagram @hazmiljapilus)