PROGRAM realiti Big Stage, yang mempertaruhkan nakat muda atau ‘Budak Baru Nak Up (BBNU)’ kembali untuk musim yang ketiga.

Mengangkat tema Dimensi Berbeza Big Stage 2020 Pada Skala Norma Baharu, musim ketiga ini menyaksikan persaingan sengit lapan peserta lelaki dan empat bintang wanita.

Antara peserta yang bakal menjadi perhatian ramai adalah anak kepada penghibur terkenal, Datuk Jamal Abdillah iaitu Yamani Abdillah, 19, selain seorang orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, Dinie Rashid, 28.

Dinie (kiri) merupakan OKU penglihatan dan Yamani adalah anak kepada Jamal Abdillah.

10 lagi peserta yang dijangka akan memberi saingan sengit adalah dua bekas peserta Mentor iaitu Usop, 23; dan Qody, 26; doktor gigi, Hafiz Zainal, 28; Azzam Sham, 23, Fadh Majid, 27, Amir Hasan, 24, Nana Sheme, 25, Hanie Soraya, 26, Sandra Dianne, 26, serta Farisha Iris, 23.

Bukan hanya bergantung kepada tarikan semata-mata, Big Stage 2020 menyaksikan muka baharu sebagai juri tetap iaitu komposer Ajai dan penyanyi Dayang Nurfaizah menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain Ajai dan Dayang, Faizal Tahir turut menggalas peranan yang sama sebagai juri tetap program tersebut yang dihoskan Alif Satar dan Sherry Al-Hadad.

Iklan
Faizal Tahir, Faizal Maas atau Ajai dan Dayang Nurfaizah menggalas tanggungjawab selaku juri tetap Big Stage 2020.

Big Stage 2020 turut memperlihatkan pembaharuan apabila memasukkan slot Presiden Netizen yang akan diadili oleh Neelofa, Michael Ang dan Caprice.

Juara Big Stage akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi manakala tempat kedua dan ketiga meraih RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.

Iklan

Big Stage 2020 akan bersiaran langsung bermula 16 Ogos ini dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ia akan disiarkan menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Untuk rekod, dua musim Big Stage terdahulu telah menobatkan Sarah Suhairi dan penyanyi dari Korea Selatan, Han Byul selaku juara.