PENYANYI dan pensyarah, Dr Fitri Haris, 37, berkongsi berita gembira mengenai kelahiran cahaya mata kedua yang juga bayi lelaki pada Isnin.

Bagaimanapun disebabkan lahir lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya dan mengalami masalah pernafasan, anaknya itu terpaksa diletakkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

“Alhamdulillah, isteri saya selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 9.07 pagi, Isnin, secara pembedahan.

“Kalau ikutkan isteri memang akan melalui proses bersalin secara pembedahan pada 7 Julai depan. Bagaimanapun pembedahan terpaksa diawalkan disebabkan isteri mengalami masalah asma yang teruk.

“Buat masa ini anak kami terpaksa diletakkan di NICU selepas dia mengalami masalah pernafasan dan jangkitan kuman pada paru-paru. Tetapi doktor maklumkan keadaan anak kami stabil dan menunjukkan perkembangan yang baik hari ini,” katanya kepada SinarPlus.

Mengakui teruja apabila dikurniakan cahaya mata selepas 16 tahun, Fitri berkata, dia tidak sabar untuk membawa pulang anakandanya itu ke rumah.

Iklan

“Insya-ALLAH, isteri saya akan dibenarkan keluar hospital esok. Disebabkan anak kami masih dalam rawatan, jadi kami terpaksa pulang dahulu tanpanya.

“Saya harap akan dapat bawanya pulang secepat mungkin dan tidak sabar menunggunya pulih serta boleh bernafas sendiri,” ujarnya.

Iklan

Isteri Fitri, Fazilah Omar merupakan pengurusnya dan ini merupakan kelahiran pertama pasangan ini selepas mereka mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu.

Selain itu, Juara Gema Gegar Vaganza (GGV) itu turut mempunyai seorang lagi anak, Sofea Soleha, 16, yang menetap bersama bekas isterinya di Singapura.