ANAM 2020 kembali martabat irama nasyid
BUAT julung kalinya, Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM 2020) bakal bersiaran langsung di saluran TV1, pada 27 Disember depan.
Acara berprestij itu dianjurkan oleh Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID) dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi.
ANAM 2020 merupakan salah satu langkah awal ke arah penganjuran Festival Nasyid Antarabangsa Malaysia pada tahun 2021, sejajar dengan status Malaysia sebagai The Home of Contemporary Nasyeed di persada dunia.
Malam kemuncak ANAM 2020 bakal mempertandingkan 11 kategori dengan enam daripada kategori tersebut dinilai oleh juri profesional, tiga kategori menerusi undian peminat dan dua kategori untuk anugerah khas juri.
Manakala satu lagi kategori melibatkan artis nasyid dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al Bakri, berkata, impian untuk melihat industri nasyid kembali bangkit bakal menjadi kenyataan menerusi penganjuran ANAM 2020.
“Saya melihat nasyid sebagai satu cabang kesenian Islam yang bukan sahaja menawarkan hiburan sihat dan mendidik kepada masyarakat tetapi juga berperanan sebagai salah satu instrumen dakwah berkesan khususnya bagi generasi muda hari ini.
“Melalui penganjuran ANAM 2020, ia akan menggalakkan penghasilan karya-karya nasyid berkualiti secara berterusan sekaligus menghidangkan masyarakat dengan hiburan mendidik jiwa.
“Mesej-mesej positif dan nilai-nilai murni yang dibawa melalui lagu-lagu nasyid juga diharap dapat membentuk masyarakat Malaysia dan dunia yang bersatu padu dan sayang-menyayangi antara satu sama lain,” katanya.
(FOTO: ANAM 2020)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang