SETIAP kali raya menjelang, pasti sahaja banyak kenangan yang menerjah fikiran. Begitu juga yang dikongsikan dua selebriti popular, Andi Bernadee dan Ryan Bakery tentang cerita raya mereka.

Baik Andi mahupun Ryan, masing-masing pernah melalui pengalaman pulang beraya pada saat-saat akhir dan berkongsi kisah tersebut menerusi sebuah lagu raya berjudul Raya Last Minit.

Tidak mahu lagi berdepan situasi sama, Andi atau nama lengkapnya Andi Azrul Andi Mapangile mengakui kali ini membuat persiapan lebih awal, termasuk membeli tiket penerbangan ke kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah dua hari sebelum raya.

Ryan dan Andi teruja raikan peminat di rumah terbuka.

“Pada tahun lalu saya terpaksa beraya di lapangan terbang kerana beli tiket balik kampung sehari sebelum raya, tapi raya tiba-tiba disambut sehari lebih awal. Memang huru hara jadinya.

“Alhamdulillah raya tahun ini semuanya tenang-tenang sahaja. Insya-ALLAH seperti biasa saya akan mengadakan rumah terbuka di kampung untuk meraikan keluarga dan rakan taulan.

“Cuma kali ini saya memilih untuk mengadakan secara kecil-kecilan sahaja berbanding sebelum ini. Apa yang penting kita saling menghargai dan mengeratkan silaturrahim,” katanya.

Raya bersama peminat

Sementara Ryan Bakery, 28, yang merupakan pempengaruh media sosial popular pula mengakui teruja meraikan lebaran pada tahun ini bukan sahaja kerana rezekinya melimpah ruah, tetapi juga disebabkan statusnya yang kini sudah bergelar suami.

“Ini merupakan tahun pertama saya sambut raya sebagai seorang suami. Rupa-rupanya banyak cabaran yang perlu dilalui bila tiba hari raya. Daripada persiapan, tema baju raya, duit raya sehinggalah kepada giliran nak balik raya juga tak boleh dibuat main.

Iklan

“Apa-apa pun saya seronok bila keluarga jadi lebih besar dan dapat rasa beraya di kampung isteri di Melaka, selain kampung bapa di Temerloh, Pahang dan Perak. Alhamdulillah ada rezeki lebih, dapatlah kongsi sikit buat duit raya untuk anak-anak buah.

“Kalau ada kesempatan saya juga merancang nak buat rumah terbuka, tetapi lokasinya masih belum diputuskan. Raya tahun lepas, saya terkejut bila rumah diserbu peminat. Jadi kali ini, kita buatlah rumah terbuka dan beri peluang beraya bersama,” katanya yang menggemari lemang dan ketupat yang dimakan dengan sekaya.

Iklan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi