Andi Bernadee sedia 15 pasang baju raya

A
A
A

SELEPAS dua tahun berturut-turut meraikan Syawal di Kuala Lumpur, penyanyi Andi Bernadee tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja dapat pulang beraya di kampung halamannya di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Andi, Aidilfitri kali ini paling dinantikan kerana mahu beraya bersama keluarga dan menziarah saudara-mara terdekat yang sudah lama tidak bertemu.

Menzahirkan keterujaan itu, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 31, telah menyediakan 15 pasang baju raya pelbagai warna.

“Terus-terang saya cakap, memang tahun ini saya agak beria buat persiapan raya kerana rasa macam dah lama sangat tak dapat sambut lebaran dalam suasana meriah macam dulu.

“Walaupun saya sudah tak ada datuk dan nenek, tetapi saya merancang untuk mengunjungi seramai boleh saudara-mara di kampung, selain beberapa kawasan lain yang berdekatan.

“Kalau dulu pada Syawal pertama, rutin saya memang keluar menziarah dari awal pagi sehingga tengah malam. Saya ambil kesempatan ini kerana bukan senang nak jumpa mereka sehingga kadang-kadang dah tak berapa kenal saudara-mara sendiri,” ujarnya yang akan berada Sabah selama enam hari.

Penampilan pertama Andi sebagai hos bersama Janna Nick dalam program Sampaikan Raya di TV3 pada malam raya.

Tidak hanya itu, penyanyi yang dikenali dengan lagu Satu Peluang itu juga bakal mengadakan rumah terbuka Aidilfitri untuk menjamu kenalan dan para penduduk kampung pada raya ketiga.

Malah Andi juga sudah membuat pelbagai persiapan lebih awal untuk memastikan majlis tersebut berjalan lancar.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar sebagaimana dirancang, saya dan keluarga akan mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya ketiga. Kami akan jemput kenalan dan semua penduduk kampung.

“Kampung saya tak besar pun, tetapi sambutan Aidilfitri kami memang sangat meriah sejak dari dulu lagi.

“Jadi setelah dua tahun kita tak dapat beraya, saya nak kembalikan kemeriahan itu dengan mengadakan rumah terbuka ini untuk mengeratkan kembali silaturrahim,” katanya yang rindu bermain badil bersama rakan-rakan sekampung.

Program raya

Dalam pada itu, Andi yang juga merupakan salah seorang duta kempen Ramadan Raya Media Prima - Seikhlas Hati bakal tampil dengan beberapa program sempena Aidilfitri di TV3.

Antaranya adalah sebagai pengacara untuk program Sampaikan Raya yang akan disiarkan pada malam raya, I Can See Your Voice Malaysia dan Master In The House.

“Alhamdulillah pada tahun ini rezeki saya murah dan dijemput untuk terlibat dalam pelbagai program raya daripada Media Prima. Terima kasih kerana memberikan peluang ini dan saya sangat hargai.

“Untuk program Sampaikan Raya, ini adalah pengalaman pertama kali saya bergelar hos dan pastinya masih banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki untuk menjadi lebih baik.

“Banyak perkara lucu terjadi sepanjang rakaman program tersebut, selain pengalaman manis bersama barisan artis yang turut membuat persembahan serta berkongsi cerita raya mereka,” katanya yang bakal kembali ke lokasi penggambaran drama Melastik ke Hatimu 2 tidak lama lagi.

(FOTO: TV3)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca