Aniq Muhai titip pesan buat rakan-rakan di pentas Big Stage
PROGRAMBig Stage musim kelima sudah pun memulakan tayangan sejak 7 Mei lalu dan 13 peserta kini berentap untuk merebut gelaran juara.
Rancangan realiti itu bukan hanya menarik perhatian peminat setia selebriti BBNU (Budak Baru Nak Up), tetapi juga rakan seperjuangan seperti penyanyi solo, Aniq Muhai.
Menurut Aniq, beberapa penyanyi muda yang menyertai program terbitan Astro itu merupakan kawan seperjuangan dalam industri seni.
Bangga melihat rakan-rakan berusaha untuk menunjukkan bakat, Aniq yang turut menganggotai kumpulan The Faith, mengingatkan semua yang berentap di pentas Big Stage tidak terlalu hanyut dan terus mengekalkan imej yang bersih.
Bahkan, ujarnya, peluang berada di pentas besar seperti Big Stage harus digunakan sebaiknya untuk berkongsi kebaikan.
“Alhamdulillah. Rezeki mereka sebab dapat berada di pentas yang besar, pentas yang insya-ALLAH boleh melonjakkan nama mereka dalam industri dengan lebih luas.
“Cuma saya harap supaya mereka terus menjaga nilai dan identiti agama yang selama ini kita sama-sama perjuangkan.
“Agak mendukacitakan kalau kita menggadaikan prinsip semata-mata ingin mencairkan identiti. Tak salah nak berhibur, tapi kena ‘tegas’ dengan diri sendiri,” tuturnya.
Tidak menolak kemungkinan turut serta dalam program seumpama Big Stage di masa akan datang, jejaka berusia 26 tahun itu berasakan perlu untuknya mengutamakan perkara lain terlebih dahulu.
“Kalau diikutkan hati teringin juga. Siapa yang tak mahu berdiri di atas pentas yang boleh melonjakkan nama sebagai penyanyi?
“Buat masa sekarang saya masih belum rasa bersedia untuk berada di pentas sebesar itu memandangkan saya kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang kaunseling.
“Penglibatan di pentas sebesar Big Stage memerlukan komitmen yang tinggi dan saya pula perlu lebih fokus dalam pengajian,” jelas Aniq.
Single baharu
Sementara itu, penyanyi dan juga penulis buku ini baru sahaja melancarkan single berjudul Kun Qowiyyan ciptaan bersama pempengaruh dakwah, Ustaz Adnin Roslan.Lagu bergenre pop itu menyuntik mesej kebangkitan diri buat mereka yang sering dilanda masalah dan gangguan emosi.
“Kun Qowiyyan kami tujukan khas kepada mereka yang sedang berada dalam kesusahan, ada masalah emosi. Lagu ini memujuk untuk kembali bangkit agar terus bersemangat dalam menjalani kehidupan hari-hari yang mendatang.
“Ramai rakyat Malaysia yang menghadapi masalah emosi, gangguan mental tapi ada antara mereka yang tak tahu pun mereka ada masalah mental. Dalam masa yang sama mereka tak tahu nak luah kepada siapa.
“Jadi saya dan Ustaz Adnin buat inisiatif melalui lagu. Bila dia (pendengar) nyanyi lagu ini, harap dapat melepaskan tekanan yang dirasai,” katanya yang berharap lagu tersebut akan diterima baik.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang