MENGHARGAI setiap peluang yang terbentang di depan mata, pelakon baharu sedang meningkat naik, Anna Jobling sentiasa bekerja keras dalam usaha mengembangkan kerjaya seni ke tahap terbaik.

Jika sebelum ini Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman dikenali menerusi lakonan drama dan filem, kini bintang berusia 22 tahun itu melangkah setapak lagi dengan menceburi lakonan pentas menerusi teater Maduku Terpaling Kalut.

“Saya teruja apabila mendapat peluang berlakon teater dan ia adalah satu permulaan yang baik untuk smengembangkan lagi bakat lakonan.

“Sebelum ini saya banyak berlakon drama, jadi penglibatan dalam teater akan beri pengalaman baharu kerana saya tahu lakonan pentas sangat berbeza dengan drama.

“Semestinya saya gementar bila pertama kali bakal muncul di pentas teater, tetapi saya percaya latihan selama sebulan ini akan banyak membantu. Apatah lagi pengarahnya, Azhar Zainal turut menjadi guru lakonan saya,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media teater tersebut baru-baru ini.

Teater arahan Azhar Zainal yang turut dibintangi oleh Azrel Ismail, Puteri Sarah Liyana, Syafeq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Joe itu akan dipentaskan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 29, 30 September dan 1, 2 Oktober depan.

Anna (tiga dari kanan) ketika majlis sidang media teater Maduku Terpaling Kalut baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang mula meledak menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu bersyukur apabila bakatnya turut mendapat perhatian di negara jiran, Indonesia.

Kunjungannya ke Jakarta untuk memenuhi jemputan stesen televisyen di sana bersama rakan pelakon yang juga hero drama sama, Meerqeen baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

“Penerimaan peminat di sana sangat luar biasa. Semua orang ‘gila’ tetapi dalam cara yang positif.

“Saya terkejut apabila mereka mengalu-alukan kedatangan kami dengan sangat baik, malah saya menerima banyak hadiah daripada mereka sepanjang berada di sana.

“Insya-ALLAH sekitar Oktober depan saya sekali lagi akan ke sana untuk urusan kerja, sekali gus mengintai peluang untuk mengembangkan kerjaya di sana pada masa akan datang,” ujarnya.

Iklan

Pindah ke Indonesia

Ditanya adakah dia bersedia untuk berhijrah ke negara berkenaan sekiranya kerjayanya semakin menyinar di sana, Anna yang juga bekas bekas finalis Dewi Remaja 2018/2019 itu ada perancangannya tersendiri.

“Pindah ke sana (Indonesia) untuk bekerja, saya boleh pertimbangkan, namun untuk menetap selama-lamanya, mungkin tidak.

“Saya tak tahu rezeki pada masa akan datang, tapi apa yang pasti kalau sudah membina kerjaya di sana, saya akan kerap pulang ke Malaysia kerana semua keluarga saya di sini,” katanya.

Iklan

Meski sedang rancak meniti populariti, bintang berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu mengakui sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya agar tidak terjebak kontroversi.

“Saya sentiasa mengingatkan diri untuk berhati-hati dan fikirkan tentang kesan yang akan berlaku atas sesuatu tindakan saya.

“Apatah lagi ibu bapa saya juga sering berpesan agar bijak menjaga diri walau di mana pun berada,” katanya.