Anwar terharu, puji Farid Kamil

A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tersentuh setelah menonton filem biopik Anwar : The Untold Story.

Naskhah yang mengangkat perjuangan politik beliau antara tahun 1993 sehingga 1998, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu digarap sehampir mungkin dengan kisah yang dilalui Anwar.

"Penceritaan ini tidaklah 100 peratus sama tetapi kebanyakan berdasarkan kisah sebenar.

"Bagaimanapun sukar untuk saya mengulas lanjut kerana banyak peristiwa yang ingin saya lupakan. Banyak beban tertanggung adalah pada Azizah, anak-anak dan rakan-rakan.

"Apa pun saya memuji usaha oleh penerbit dan pengarah yang berjaya meringkaskan penceritaan beberapa tahun dalam tempoh 100 minit durasi filem ini.

"Sinematografi filem ini juga sangat baik," ujarnya ketika ditemui pada sidang media selepas tayangan perdana filem berkenaan di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang, malam tadi.

[caption id="attachment_113568" align="alignnone" width="800"]Meskipun dilaporkan sudah berangkat pulang, Anwar kembali ke panggung untuk menyertai sidang media tidak lama kemudian. FOTO SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH[/caption]

Turut hadir pada tayangan tersebut adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengasas dan Pengerusi DMY Creation selaku pengedar filem, Datuk Mohamed Yusoff; penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam serta penyanyi kesayangan ramai, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga merupakan penyanyi bagi runut bunyi Anwar : The Untold Story.

Dalam pada itu, tatkala diminta mengulas mengenai lakonan Farid Kamil Zahari sebagai dirinya, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi pujian.

"Sukar untuk menilai, tetapi penampilan, gaya, mungkin diambil sedaya upaya mirip saya, walaupun dia lebih kacak, itu sahaja saya kurang setuju (berseloroh sambil ketawa), yang lain sangat baik," ulasnya.

Anwar dalam masa sama berharap berpeluang untuk mendengar lagu runut bunyi Menjaga Cintamu yang tidak sempat diperdengarkan pada sesi tayangan itu susulan masalah suntingan.

Selain Farid Kamil, filem yang menelan belanja RM10 juta itu turut dijayakan Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Saskia Chadwick dan Dewi Irawan.

Diterbitkan Yusrych Global dengan Zukiflee Anwar Haque atau Zunar sebagai penerbit eksekutif, filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei depan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca