PENYANYI Ashira kembali bergelar isteri apabila selamat disatukan dengan Bad Indigo, 46, dalam majlis ijabkabul yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, jam 2.45 petang Khamis.

Pasangan pengantin yang juga merupakan bekas peserta program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu dinikahkan sendiri oleh bapa Ashira, Syed Abd Aziz, dengan dua kali lafaz, bersaksikan keluarga terdekat kedua belah pihak.

Ashira atau nama lengkapnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin, sementara wang hantaran tidak dinyatakan.

“Kami mohon maaf kepada pihak media kerana tidak dapat jemput untuk meraikan majlis ini kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

“Majlis ringkas ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua belah pihak, selain anak-anak kami.

“Alhamdulillah majlis ini berjalan lancar sebagaiamana dirancang,” ujar Ashira menerusi video yang dikongsi bersama media.

Sekitar majlis pernikahan Ashira dan Bad.

Pasangan yang berstatus ibu dan bapa tunggal itu mula menjalinkan hubungan istimewa setelah sama-sama menyertai GV7, sebelum sepakat mendirikan rumah tangga.

Sementara itu, Bad atau nama penuhnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, berkata, hubungan dengan Ashira diterima baik anak-anaknya sejak awal perkenalan mereka lagi.

“Anak-anak saya sangat terbuka dan menerima Ashira dengan baik sejak dari mula lagi. Mereka juga kini memanggil Ashira dengan panggilan ‘mom’, katanya.

Senada dengan Bad, pelantun lagu Di Ombak Resah itu mengakui, anak tunggalnya, Megat Shazril Haziq Hadi, 15, juga gembira menerima kehadiran suaminya itu dalam hidup mereka.

Iklan

“Alhamdulillah anak saya boleh menerima Bad dengan baik, malah mereka juga sudah rapat macam kawan.

“Saya bersyukur anak kami masing-masing dapat menerima kehadiran kami dalam hidup mereka,” kata Ashira.

Iklan

Dalam pada itu, Bad juga menzahirkan rasa terima kasih kepada pasukan produksi GV7 yang bertungkus-lumus membantu dan memastikan majlis pernikahan mereka berjalan lancar.

“Terima kasih kepada team produksi GV7 yang mengaturkan segala perancangan untuk majlis hari ini.

“Baik lokasi majlis, pegawai pendaftar nikah, sehinggala kepada jamuan makan untuk tetamu, semuanya mereka yang aturkan,” kata Bad yang mempunyai dua anak iaitu Rayyan, 12, dan Rania, 11, daripada perkahwinan terdahulu.