MESKIPUN industri seni dalam kesuraman akibat pandemik Covid-19 yang melanda, namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat pendatang baharu, Assya Yen untuk mara ke depan berkongsi bakat nyanyiannya.

Memiliki kualiti suara unik dan pakej lengkap sebagai selebriti, Assya, 28, mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada syarikat rakaman Hotsound Record untuk merakamkan single sulungnya, Di Antara.

“Lagu Di Antara yang berentak pop balada ini merupakan karya ciptaan komposer muda, Aliff Hassan, Muluk dan Hariz.

“Ia mengisahkan kesedihan dan kekecewaan selepas ditinggalkan seseorang yang dicintai tanpa apa-apa alasan dan jawapan,” katanya yang mahu pendengar menghayati bait lirik penuh cerita itu.

Berkongsi pengalamannya sepanjang rakaman lagu tersebut, wanita berketurunan Melanau itu mengakui banyak ilmu baharu diperoleh sepanjang proses itu.

“Pengalaman sepanjang merakam lagu ini sangat banyak. Saya mendapat tunjuk ajar daripada pihak syarikat rakaman dan juga komposer dalam pelbagai perkara, termasuk belajar cara menyampaikan dan menghayati lagu dengan baik.

“Selain itu, pengalaman dari segi berdepan cabaran merakamkan lagu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tentunya memberikan suasana yang berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Assya yang juga merupakan seorang model, mengakui bukan mudah untuk bersaing dengan penyanyi berbakat sedia ada, sekali gus menempatkan diri dalam industri.

“Sebagai artis baharu, memang amat sukar untuk saya bersaing dengan nama besar di dalam industri.

“Bagaimanapun, saya percaya dengan keunikan, bakat dan semangat yang ada, saya mampu bersaing dalam industri tanah air,” ujarnya.

Iklan

Menganggap single Di Antara begitu istimewa, Assya memgharapkan agar karya sulungnya itu dapat diterima ramai dan mendapat tempat di stesen radio tanah air.

“Semoga single Di Antara disukai ramai dan diputarkan seluruh radio tanah air.

“Dalam masa sama, saya juga berharap agar kehadiran saya dalam industri dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Iklan

Di Antara di rilis pada 14 Februari lalu dan lirik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Hotsound Record.

 

(FOTO: Hotsound Record)