Aura eksklusif, konsert Sheila Majid ditunggu ramai
SELEPAS kali terakhir menjayakan konsert mega di Stadium Negara pada 2017, penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid bakal kembali menghiburkan peminat dalam sebuah konsert istimewa, Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mac tahun hadapan.
Berbeza dengan konsert terdahulu, kali ini Sheila memilih mengadakan konsert tersebut di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sekali gus mengimbau kenangan konsert pertamanya yang berlangsung di lokasi sama.
“Saya cukup berbesar hati untuk mengadakan konsert ini apatah lagi ia adalah permintaan peminat yang tidak putus menyokong kerjaya seni saya selama ini.
“Kali ini konsert saya agak lain kerana ia berkonsepkan big band yang akan memberi energi dan elemen muzik berbeza daripada yang pernah disaksikan sebelum ini.
“Saya masih akan menyanyikan lagu-lagu hits kegemaran peminat, tetapi penyampaiannya akan lebih segar dengan susunan muzik baharu ditampilkan nanti,” ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar konsert berkenaan baru-baru ini.
Menurut Sheila, konsert anjuran JioBuddy bersama Altus Prohouse yang menampilkan 23 pemuzik diketuai oleh Mac Chew selaku Pengarah Muzik itu bagaimanapun hanya akan diadakan secara eksklusif untuk satu malam sahaja.
Jelasnya, persembahan tersebut menjadi lebih istimewa buat para peminat jika momen tersebut tidak berulang pada malam kedua.
“Saya sebenarnya memang suka buat konsert satu malam sahaja kerana bagi saya momen itu akan dapat dirasai dengan lebih istimewa.
“Jadi mereka yang ingin hadir menonton kena beli tiket cepat-cepat. Kalau tiket habis, saya tidak akan buat untuk malam kedua dan mereka perlu tunggu untuk konsert seterusnya kelak.
“Saya ingin mengubah persepsi sesetengah orang yang dibiasakan dengan kenyataan tiket habis dijual, tetapi bila pergi masih ada. Untuk konsert saya, jika habis terjual memang tidak ada lagi tiket,” tegasnya.
Permintaan Peminat
Dalam pada itu, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagi Sinaran itu meluahkan rasa syukur masih diberikan kepercayaan menjayakan konsert solo berskala besar meski usianya sudah menginjak 57 tahun.
“Alhamdulillah saya besyukur dengan segala kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini.
“Tujuan tampil dengan konsert terbaharu ini juga adalah kerana permintaan peminat yang masih mahu melihat saya beraksi menghiburkan mereka di pentas.
“Selagi masih ada orang nak tengok saya menyanyi, saya lebih daripada gembira untuk lakukan itu buat mereka semua,” kata Sheila yang mempunyai auranya tersendiri.
Mengulas persiapan menjelang konsert, Sheila yang turut mencipta nama di luar negara itu mengakui hanya melakukan rutin biasa dan lebih memfokuskan kepada persiapan tertentu seperti stamina dan vokal.
“Saya lakukan rutin biasa seperti senaman untuk stamina dan badan yang fit, selain menjaga kesihatan dengan baik.
“Bagi saya sebagai seorang penyanyi, kita perlu konsisten melakukan persediaan untuk diri dan boleh melakukan persembahan pada bila-bila masa sahaja,” akhirinya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang