SETELAH berehat seketika daripada industri muzik, penyanyi Awi Rafael kembali tampil dengan karya terbaharu sebagai buah tangan istimewa untuk mengubat rindu peminat.

Tidak tampil solo, Awi atau nama penuhnya Muhammad Nabawi Ewan Gunawan Rafael, 35, memilih untuk berkolaboratif degan sahabat baiknya yang juga pelakon, Julia Farhan Marin, menghasil single duet, Jangan Lupakan Aku.

Biarpun ia merupakan penampilan pertama Julia sebagai penyanyi, Awi yang juga pencipta dan penulis lirik lagu berkenaan mengakui aura istimewa dibawakan sahabatnya itu.

“Ilham menulis lagu ini bermula apabila saya dan Julia berbual santai tentang cinta terlarang dan saling memberikan pendapat daripada perspektif seorang lelaki serta perempuan.

“Bila lagu siap dan turut dinyanyikan Julia, saya dapat rasakan auranya. Nyanyiannya sampai dan lagu serta muziknya menjadi sangat indah.

“Alhamdulillah semuanya menjadi apabila datang pula rezeki daripada Habib Jewels yang sudi menjadi penaja untuk produksi lagu dan muzik video, selain turut terpilih sebagai lagu runut bunyi (OST) drama terbitan RTM yang dibintangi Julia,” jelasnya.

Awi ditemui ketika majlis pelancaran muzik video Jangan Lupakan Aku di Hotel Pullman Kuala Lumpur Bangsar baru-baru ini.

Berkongsi pembikinan muzik video lagu itu, Awi berkata, kerjasama daripada Habib Jewels menjadikan konsep yang dihasilkan itu menjadi sebagaimana yang mereka inginkan.

“Penggambaran muzik video lagu ini dilakukan di Langkawi selama enam hari. Kisahnya tidak ada kaitan dengan babak drama yang mengangkat lagu ini sebagai OST, sebaliknya mempunyai jalan ceritanya sendiri sebagaimana dalam lagu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Awi berkata, menerusi syarikat miliknya, Newsantara, kini aktif membantu golongan autism terutamanya kanak-kanak menerusi program terapi muzik kendaliannya.

“Sebelum ini saya pernah berehat seketika daripada industri muzik dan dalam tempoh itu saya memberikan fokus kepada aktiviti-aktiviti lain, termasuk membantu anak-anak istimewa ini menerusi program terapi muzik.

“Bersama mereka selama lebih setahun, banyak perkara saya belajar. Kalau bercakap mengenai pencapaian dalam muzik, saya sudah peroleh banyak perkara.

Iklan

“Namun apa ia tidak sama dengan pencapaian saya dalam membantu anak-anak istimewa ini kerana ia lebih berharga,” katanya.

Menurut Awi, sehingga kini seramai 153 peserta dari kalangan anak-anak autism menyertai program yang diperkenalkan itu.

Malah selebriti kelahiran Singapura itu juga kini menjalinkan kerjasama dengan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi National Autism Resource Centre (NARC) kendalian universiti itu bagi membantu menghasilkan sukatan pelajaran untuk mengajar anak-anak autism.

Iklan

“Alhamdulillah UiTM berminat dengan apa yang saya lakukan itu dan mempelawa kerjasama menghasilkan sukatan pelajaran menerusi satu kajian bagaimana menggunakan muzik sebagai salah satu terapi buat pesakit autism.

“Insya-ALLAH sukatan pelajaran itu nanti bukan sahaja akan digunakan di Malaysia, tetapi juga juga di luar negara seperti Singapura dan Dubai,” katanya yang turut memasang impian untuk mewujudkan sebuah stesen TV khas untuk golongan itu.

 

(FOTO: Newsantara)