FIGURA popular tanah air, Datuk Awie dan Erra Fazira tidak menjadikan sejarah lalu sebagai halangan untuk bekerjasama secara profesional.

Buktinya, Awie dan Erra bakal mengembalikan semula kenangan dan memori indah mereka ketika menjayakan filem Sembilu dan Sembilu 2 dalam Showcase Awie Romantika bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Ogos ini.

Menurut Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 54, hubungannya dengan bintang yang mendapat jolokan Primadona Filem Melayu itu tetap baik sama seperti 30 tahun lalu.

“Saya sendiri yang pilih Erra (sebagai rakan gandingan). Saya senang bekerja dengan Erra yang saya dah kenal puluhan tahun dan kami serasi bila berada dalam satu pentas yang sama.

“Kami tahu sikap satu sama lain dan lebih senang begitu untuk kompromi (melibatkan hal-hal persembahan).

“Kami pun pernah bertunang, pernah putus dan kecewa akhirnya kembali bersama bekerja menjadi sahabat yang baik alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.Tambah Awie, isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 35, juga tidak mempunyai masalah tentang hubungan baik yang terjalin dengan Erra.

“Isteri saya, dia pun peminat Erra dan alhamdulillah dia faham ini semua kerja. Jadi memang tiada perasaan cemburu yang ‘gila-gila’.

“Isteri saya pun beri kebenaran luar biasa iaitu dia pernah cakap kalau you nak kahwin (lain), kahwin dengan Erra sahaja,” katanya berseloroh.

Bagi Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Chek, 48, keserasian yang dicipta bersama Awie dalam showcase sebelumnya memudahkan mereka untuk bekerjasama.

Baca juga Awie, Erra Fazira: Gandingan Sembilu yang dirindui

“Dari segi keserasian, kami sudah saling mengerti. Cuma, pada usia sekarang, ada beberapa perkara perlu diambil kira.

“Sudah semestinya kami ingin berikan persembahan terbaik. Walaupun ini hanya majlis makan malam, tetamu yang hadir adalah pembeli meja.

“Jadi, tak boleh nak main-main. Tentu saja mereka harapkan sesuatu yang menghiburkan daripada kami,” ujarnya yang turut berjanji akan memberikan persembahan yang berkualiti kepada para peminat.

Showcase Awie Romantika berdurasi 1 jam 30 minit dan dijangka mempersembahkan 18 lagu termasuk lagu duet.

Para peminat yang ingin memenyaksikan Showcase Awie Romantika boleh mendapatkan tiket bermula dengan harga RM12,000 (platinum – 10 orang semeja) sehingga RM3,500 (bronze – 10 orang semeja).

Konsert di Kuching

Iklan

Tidak hanya sekadar itu, Awie bersama kumpulan Wings akan terlebih dahulu menghiburkan peminat setianya menerusi Showcase Wings One Night Only Live In Kuching di Sarawak Chambers, Riverside Majestic Hotel, Kuching pada 27 Ogos.

Penganjurnya, Bidari Mohamad Suhaili dari BMS Event berkata, alasan utama membawa Wings masuk ke Kuching adalah kerana kumpulan itu mempunyai ramai peminat selain Awie yang mempunyai pengikut tersendiri.

Baca juga M. Nasir terbit album baharu Wings

“Wings ialah kumpulan rock legenda yang masih utuh sehingga kini.

“Lagu-lagu Wings masih segar dalam ingatan peminat walau di mana sahaja mereka berada termasuklah di Sarawak.

Iklan

“Jika ditanya pada pihak lain pun mereka pasti memberikan alasan sama,” katanya.
Penganjuran Showcase Wings One Night Only Live In Kuching dibuat seminggu selepas Showcase Romantika Awie di Kota Kinabalu, Sabah.

Tambah Bidari, selaku penyanyi tidak ada masalah kerana lagu-lagu Wings dan Awie berbeza.

“Daripada Awie sendiri, dia okay. Dia bersetuju untuk menjayakan dua persembahan besar ini dalam jarak seminggu,” jelasnya. Pada showcase Wings tersebut yang berdurasi dua jam itu bakal menyaksikan Wings menyampaikan hampir 20 lagu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.