PELAKON Eira Syazira menerima kejutan manis daripada suami, Azad Jazmin yang meraikan hari ulang tahun perkahwinan kesembilan mereka dengan sebuah majlis istimewa di Dealove Place, Sunway Nexis, Damansara, Sabtu lalu.

Menurut Azad, majlis tersebut telah dirancang secara senyap lebih dua bulan lalu bersama ahli keluarga, sanak saudara dan teman media tanpa pengetahuan isterinya.

Azad merancang meraikan ulang tahun perkahwinan mereka termasuk bersanding semula buat pertama kali di atas pelamin dan makan beradab.

Membuat helah kononnya mahu membawa isteri ke candle light dinner, Azad berjaya menyembunyikan rancangannya sehingga tiba hari kejadian, sekali gus membuatkan Eira terharu dan menitiskan air mata.

Malah kejutan menjadi berganda apabila Eira menerima hadiah set barang kemas berupa cincin, rantai, gelang dan anting anting bernilai RM15,000 daripada Emas Rozita yang beroperasi di Ipoh.

“Selama ini saya yang lebih ke depan dalam bab menganjurkan sesuatu termasuk meraikan ulang tahun perkahwinan kami. Dia (Azad) hanya bersetuju dan menjadi ‘Mr Okey’.

“Cuma sekitar dua bulan lalu, dia cakap nak buat sesuatu kononnya nak menghabiskan masa bersama menikmati candle light dinner.

“Syaratnya saya tak boleh tanya apa pun dan tengok telefon bimbitnya,” ujar Eira.

Tambah Eira lagi, kejutan itu terlalu istimewa buatnya kerana dilayan bak puteri pada acara yang diraikan bersempena majlis ulangtahun perkahwinan mereka yang jatuh pada 16 April lalu itu.

“Serba serbi persiapan, daripada memilih gaun yang nak dipakai dan jurusolek pun dia sediakan.

“Saya tak sangka pula rupa-rupanya dia buat sesuatu yang di luar kotak fikiran.

“Memang terkejut hingga rasa sebak apatah lagi ada keluarga, teman rapat dan pihak media yang bersengkongkol dengannya,” kata Eira lagi.

Pelakon dan penyanyi yang juga ibu kepada tiga cahaya mata perempuan ini bagaimanapun turut mengakui cuba untuk merosakkan perancangan kejutan suaminya.

“Saya terlebih dulu meraikan ulang tahun perkahwinan kami di Pulau Langkawi, dua hari sebelum kejutan ini terjadi.

“Dalam hati cuba mengorek dan menyiasat apalah yang cuba dilakukan suami. Kami tiba di Kuala Lumpur dari Langkawi pada sebelah siang sebelum kejutan ini terjadi.

“Saya sampai cakap keletihan sekembalinya dari pulau itu dan meminta ditunda saja candle light dinner ini.

“Malah saya juga minta percutian di Langkawi dilanjutkan beberapa hari. Tapi dia berkeras cakap tak boleh kerana semua sudah diatur. Mahu atau tidak saya terpaksa menurut,” jelas Eira.

Azad dan Eira bersama cahaya mata kesayangan mereka.

Saling percaya

Mengimbau perkongsian hidup bersama suami sejak sembilan tahun lalu, kata Eira, rumah tangga mereka juga ada turun naiknya sebagaimana pasangan lain.

“Awal perkahwinan pasti ada rasa cemburu kalau suami balik lewat misalnya. Cuma lama-lama kita sudah mula faham rentak suami.

“Perasaan risau dan tak yakin itu sudah kian terhakis. Cuba elak daripada fikir bukan bukan. Kepercayaan jadi teras utama.

“Apabila hidup bersama kita mula tahu sisi baik dan buruk pasangan. Kena terima, hadap dan biasakan.

Iklan

“Saya dulu sebelum kahwin lebih serius dan dramatik, tapi dapat pula suami yang gila-gila dan penuh humor, saya mula mengikut rentaknya.

“Tahulah perangai dia macam kita tengok di Instagram bagaimana pula. Ada saja modal lawak dan usikan buat kita ketawa sampai terbahak-bahak,” ujar Eira..

Dalam pada itu, Eira juga mengakui kehadiran tiga anak perempuan mereka, Amarra Sofea Rose, 7, Ameisya Leanne Rose, 4, dan Areisya Suri Rose, 2, kini menjadi pelengkap rumah tangga mereka.

“Saya tahu suami memang kalau boleh nak anak lelaki pula. Dalam hal ini saya hanya berserah. Kalau ada rezeki hamil, saya tak tolak. Ikut hati cukuplah tiga anak perempuan.

“Cuma apabila bersalin ketiga anak itu dengan cara pembedahan, doktor memang minta jarakkan tempoh masa kalau nak hamil lagi,” katanya.

Sementara itu, Azad pula mengakui niat untuk bersanding semula itu sudah lama terpendam, cuma pada sambutan ulang tahun kali ini ia menjadi kenyataan.

“Saya lihat angka kesembilan dengan tiga anak ini waktu terbaik untuk realisasikannya.

Iklan

“Memang teringin nak ‘menikah’ lagi. Isteri saya tak kisah nak menikah berapa kali pun dan izinkannya, dengan syarat kena bersanding dengan orang sama iaitu dengan dia.

“Alhamdulillah berkat bantuan keluarga dan rakan-rakan termasuk penaja, jadilah apa yang saya impikan ini,” katanya.

Tambah Azad, apa yang dilakukan itu sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan buat isteri yang sentiasa setia di sisinya kala susah dan senang.

“Saya bersyukur ditemukan isteri. Dialah supermom kepada anak kami. Biarpun kami berbeza sikap, tapi apabila masuk dalam dunia perkahwinan, kami saling percaya.

“Kami kini lebih matang dan sentiasa mengelakkan hal negatif dan tak perlu. Tak sangka juga perkahwinan kami sudah melepasi angka sembilan. Rasa macam baru saja kahwin dan bercinta dengannya,” kata Azad.

Antara selebriti yang turut hadir di majlis tersebut ialahShaheizy Sam, Syatilla Melvin, Aiman Tino, Fareez Fauzi dan bekas pemain bola kebangsaan, Khalid Jamlus.

(FOTO: Azad Jazmin)